Langgar kenderaan polis, 3 lelaki ditahan, seorang lagi diburu

Sinar Harian
Julai 18, 2024 21:50 MYT
Tiga suspek ditahan kerana melanggar kenderaan polis sehingga tembakan terpaksa dilepaskan polis dalam kejadian di Jalan 17, Taman Kota Masai Pasir Gudang, pada tengahari Khamis. - Foto tular
PASIR GUDANG: Polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri selepas sebuah kereta melanggar kenderaan polis serta hampir mencederakan pegawai polis yang bertugas.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, kereta terbabit dipandu secara melulu di Jalan 17, Taman Kota Masai pada jam 12.20 tengah hari, Khamis.
"Sebelum itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, telah menahan sebuah motosikal dinaiki seorang lelaki tempatan untuk diperiksa.
"Bagaimanapun semasa pemeriksaan dilakukan, sebuah kereta dipandu secara melulu dan telah melanggar kenderaan polis serta hampir mencederakan pegawai polis bertugas menyebabkan tembakan terpaksa dilepaskan ke arah kereta terbabit," katanya dalam kenyataan pada malam Khamis.
Menurut Mohd Sohaimi, tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 24 hingga 45 tahun berjaya ditahan manakala seorang lagi suspek berusia 25 tahun kini giat diburu.
"Ketiga-tiga suspek mempunyai 10 rekod kesalahan jenayah dan dadah. Hasil ujian saringan awal air kencing didapati positif dadah jenis methamphetamine.
"Kes disiasat mengikut Seskyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Permohonan reman ketiga-tiga suspek akan dibuat pada pagi Jumaat," katanya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian dan seorang lagi suspek yang masih bebas agar menyalurkannya kepada pihak polis.
"Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Asisten Superintenden Mohd Afzan Musa dan ke talian hotline IPD Seri Alam di talian 07-3871422," ujarnya.
Sebelum itu, tular berdurasi 17 saat mengenai kejadian tersebut yang mencetus kebimbangan penduduk kerana mendakwa terdengar bunyi das tembakan.
Selain itu, terdapat juga dakwaan kononnya insiden yang berlaku itu menyebabkan kematian seorang penjenayah. - Sinar Harian
#langgar kenderaan polis #Dadah #permohonan reman #Mohd Syakirin Mohd Samsudin