Langgar belakang lori kontena, pemandu dan kelindan maut

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 6, 2019 15:16 MYT
Dalam kejadian kira-kira 4.15 pagi itu, pemandu Abd Rafiq Rejab, 29 dan kelindan Robian Ramly, 43, meninggal dunia di tempat kejadian. - Foto JBPM
Pemandu dan kelindan sebuah lori maut apabila kenderaan yang mereka terlanggar belakang sebuah lori kontena yang rosak di Kilometer 294.4 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini, pagi Ahad.

Dalam kejadian kira-kira 4.15 pagi itu, pemandu Abd Rafiq Rejab, 29 dan kelindan Robian Ramly, 43,
meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu lori kontena yang berumur 43 tahun bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, siasatan awal mendapati lori membawa ikan yang dinaiki kedua-dua mangsa datang dari arah Kuala Lumpur menghala ke Ipoh.

“Ketika sampai di tempat kejadian pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar bahagian belakang lori kontena muatan minyak masak pada lorong kiri,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati pemandu lori kontena hanya meletakkan papan tanda segitiga pada jarak lima meter sedangkan jarak mengikut piawaian ialah 30 meter dan menyalakan ‘double signal’.

“Rakaman percakapan dengan pemandu lori kontena menunjukkan dia tidak berusaha untuk memandu lorinya ke lorong kecemasan setelah mengetahui ia mengalami kerosakan,” ujarnya.

Hasron Nazri berkata, bedah siasat telah dijalankan di Hospital Kampar dan kematian kedua-dua mangsa adalah disebabkan oleh "Polytrauma Secondary to Motor Vehicle Accident".

Susulan kemalangan itu, polis menahan pemandu lori kontena untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 4.20 pagi.

Katanya, dengan bantuan lori awam, lori yang tersepit berjaya ditarik keluar dan kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
#accident #bomba #Gopeng #Hospital #Ipoh #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #kemalangan #Malaysia #mangsa #maut #meninggal dunia #minyak #siasatan
;