Langganan bulanan Alexa dengan AI akan tiba pertengahan Oktober ini

Amanz
Ogos 27, 2024 13:20 MYT
Alexa serba baharu ini turut akan lebih memahami konteks arahan pengguna secara mendalam. -Amanz
AMAZON Alexa adalah satu lagi pembantu maya yang popular.
Ia mempunyai jumlah penggunaan tertinggi di Amerika Syarikat dan India kerana di negara-negara ini, ekosistem peranti internet benda Alexa ditawarkan secara meluas.
Alexa tersedia pada telefon, televisyen, jam tangan pintar, skrin dan speaker pintar Echo dan banyak lagi.
Selepas dua bulan mendengar yang Alexa akan dinaik taraf dengan AI dan akan mengenakan caj bulanan kepada pengguna, ia dilaporkan baru-baru ini akan tiba pada pertengahan Oktober.
Ciri AI ini akan membolehkan Alexa merumuskan berita harian dan dibacakan kepada pengguna.
Alexa serba baharu ini turut akan lebih memahami konteks arahan pengguna secara mendalam termasuk dengan bertanya mengenai perkara yang disukai serta menyampaikan promosi jualan di Amazon.
Selain Alexa serba baharu, Project Metis yang akan menjadi pesaing kepada ChatGPT turut dijangka akan dilancarkan sekali.
Buat masa ini tiada khabar sama ada pelan langganan Alexa dan pesaing ChatGPT ini akan ditawarkan secara meluas atau terhad di negara tertentu sahaja. Sama-sama kita nantikan. -Amanz
#Amazon #Alexa #langganan bulanan #pembantu maya
;