Langat 2 lebih baik dari teknologi membran
Bernama
Oktober 30, 2012 16:35 MYT
Oktober 30, 2012 16:35 MYT
Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) adalah lebih baik daripada projek teknologi penapis air membran yang cuba dilaksanakan kerajaan negeri Selangor kerana ia lebih ekonomi dan berdaya maju untuk mengelak krisis bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Noriah Kasnon memberitahu Dewan Rakyat hari ini, kajian yang dilaksanakan sejak 1990 mendapati Langat 2 adalah lebih ekonomi dan berdaya maju dengan memindahkan air dari negeri Pahang ke Selangor.
"Kajian kita mendapati dari dulu lagi ini keputusan yang terbaik untuk rakyat. Membran memerlukan sumber air mentah yang banyak. Lima sungai Selangor kita sudah ambil dan guna (bahan mentah) secara optimum.
"Sebab itu Langat 2 terbaik untuk bekalan air kepada Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. (Kerajaan Selangor) Asyik tukar-tukar teknologi yang akhirnya meletakkan risiko kepada rakyat," katanya ketika menjawab soalan tambahan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (PKR-Bandar Tun Razak).
Kerajaan Negeri Selangor masih belum memberi kelulusan kepada Langat 2 yang dilaksanakan untuk menampung keperluan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan yang dijangka meningkat sebanyak 3.5 peratus hingga 4.0 peratus setiap tahun.
"Kita sudah mulakan projek (Langat 2) tersebut, tunggu persetujuan sahaja dari kerajaan Selangor," katanya.
Noriah berkata bagi menghadapi dan mengatasi krisis bekalan air itu, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM606 juta untuk projek mitigasi bagi menampung permintaan air di kawasan yang terjejas.
Kepada soalan asal Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) mengenai status terkini projek Langat 2, Noriah berkata pembinaan loji rawatan air itu dilaksanakan melalui Tender Pakej 2A yang kini dalam proses penawaran tender.
Tender Pakej 2A telah diiklankan pada 4 Sept lepas dan akan ditutup pada 20 Nov ini dan pembinaan loji ini dijangka dimulakan pada pertengahan 2013.