Langat 2 dijangka bekal 350 juta liter air sehari tahun depan

Bernama
Ogos 14, 2018 04:35 MYT
XAVIER: etika ini, projek LRA Langat 2 yang menelan kos RM8 bilion telah siap 70 peratus. - Gambar fail
Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 dijangka membekalkan 350 juta liter air sehari (MLD) untuk kegunaan penduduk Selangor tahun depan, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar.
Beliau berkata dengan penyaluran berkenaan, ia akan meningkatkan rizab air di negeri itu ke paras lebih tinggi.
"Kita telah bincang untuk mendapatkan 350 MLD dulu pada tahun depan untuk kegunaan dalam negeri Selangor untuk kita atasi masalah rizab dan sebagainya," katanya ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2018 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Rizab air di Selangor ketika ini adalah pada paras tiga peratus dan dengan adanya penyaluran (350 MLD) tersebut, rizab negeri dijangka dapat ditingkatkan ke paras tujuh peratus.
Dr Xavier Jayakumar berkata ketika ini, projek LRA Langat 2 yang menelan kos RM8 bilion telah siap 70 peratus dan dijadual siap sepenuhnya pada akhir 2023.
Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata projek itu dijangka berupaya membekalkan 1,130 MLD, mencukupi untuk kegunaan penduduk Lembah Klang.
Pembinaan LRA Langat 2 merangkumi 15 pakej membabitkan kawasan antaranya Hulu Langat, Cheras, Sungai Besi, Bukit Jalil, Petaling, Bandar Kinrara, Bukit Dengkil, Ampang serta Keramat AU3.
-- BERNAMA
#bekalan air #langat 2 #loji rawatan air #LRA #penduduk Selangor #Xavier Jayakumar
;