'Landakku ketagih roti canai'
Salim Aziz
Julai 18, 2019 21:59 MYT
Julai 18, 2019 21:59 MYT
Merajuk jika sehari tak dapat roti canai.
Cerita pelik ini bukan berkait dengan manusia tetapi landak.
Ketagih roti canai punya pasal, landak raya ini boleh menghabiskan sekeping roti canai sekali makan.
Kadang-kadang tak cukup, haiwan itu 'merajuk' dan merengek minta lagi.
Itu perangai lima ekor landak dewasa yang dipelihara seorang pesara, Mohd Khalid Ahmad atau dikenali dengan panggilan Pak Lid, 65 tahun, dari Jalan Rani Estet di sini.
Kesemua landak itu diternak di kawasan tepi rumahnya yang cuma berkeluasan 200 meter persegi dan Pak Lid telah pun mengambil lesen untuk memelihara haiwan berkenaan.
Kata Pak Lid, landak dewasa itu mula 'ketagih' roti canai sejak dua tahun lalu, kira-kira setahun selepas dia memeliharanya.
Jika terlambat beri makan, haiwan seberat 3 hingga 5 kilogram seekor itu akan merajuk, dan Pak Lid terpaksa memujuknya dengan memberi makan sengkuang atau labu.
"Dia mula makan roti canai sebab ada satu hari tu, ramai orang nak datang rumah, jadi saya beli banyak roti canai. Ada lebih, jadi saya tak mahu buang, saya bagi dia makan.
"Lepas tu, dia terus nak lagi. Kadang-kadang pagi makan roti canai, petang pun roti canai. Kalau ada capati, pun dia makan. Roti Gardenia pun dia makan. Roti dia cukup suka," ujar Pak Lid.
Katanya, semua landak yang dibela dari kecil itu diperolehi dari seorang pemotong kayu balak di Gerik, Perak.
Sungguhpun berperangai manja, namun landak raya itu tidak suka menerima ‘tetamu’ selain ahli keluarga Pak Lid.
Jurukamera kami juga hampir diserangnya, ketika memasuki sangkar haiwan itu.
Menurut Pak Lid lagi, dia memelihara haiwan itu kerana suka-suka dan tidak berhajat untuk mengkomersialkannya.
Sebaliknya, Pak Lid berhajat untuk membesarkan lagi sangkar haiwan itu serta menambah bilangannya.