Lampu hijau untuk perhimpunan, bukan untuk perarakan - Polis

Astro Awani
Mei 1, 2014 08:13 MYT
Pihak polis telah memberi ‘lampu hijau’ ke atas perhimpunan Bantah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan diadakan di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad hari ini, namun tidak ke atas perarakan ke tempat tersebut.
Pihak penganjur berkata, 10 ribu orang akan menyertai perhimpunan ini dan mula berjalan dari beberapa tempat sekitar ibu negara ke Jalan Raja dekat Dataran Merdeka.
“Apa-apa perarakan adalah tidak dibenarkan dan ia salah di sisi undang-undang. Jika mahu berhimpun pergi terus ke lokasi Jalan Raja. Protes jalanan adalah kesalahan di bawah Akta Perhimpunan Aman. Kita tidak membenarkannya” kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad.
“Peserta diminta tidak menganggu orang awam atau menyesakkan jalan raya. Bukan semua sukakan perkara begini, jadi diminta mereka menghormati ketenteraman awam,” tambah beliau lagi.
Peserta dijangka akan membuat perarakan di empat kawasan iaitu KLCC, Pasar Raya Sogo, Masjid Negara, Dataran Maybank (Pudu) pada pukul 2 petang sebelum bergerak ke lokasi di hadapan Dataran Merdeka.
Pihak berkuasa sebelum ini menutup Dataran Merdeka kerana ia sedang menjalani proses pengubahsuaian.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012, yang menjadikan kegagalan penganjur memberi notis 10 hari sebagai satu kesalahan, adalah tidak munasabah kerana ia terjumlah kepada larangan efektif terhadap perhimpunan segera dan spontan.
Zainuddin ketika dihubungi Astro AWANI berkata, Jalan Raja akan ditutup hari ini dan boleh memuatkan sehingga 15,000 sehingga 18,000 orang dan peserta diminta tidak berpindah ke kawasan lain.
“Penahanan akan dibuat sekiranya perkara seperti membawa senjata, pemberontakan atau apa saja yang melanggar undang-undang dan bukan kerana menyertai perhimpunan tersebut” kataZainuddin lagi.
Sementara itu Ketua Setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM) S. Arutchelvan mewakili 95 badan NGO yang menganjurkan perhimpunan ini berkata, mereka mengharapkan agar orang awam hadir beramai-ramai.
“Tahun ini kita akan memberi tumpuan kepada penghapusan GST.
“GST hanya boleh diimplementasikan sekiranya kita melaksanakan penddidikan percuma, khidmat kesihatan percuma dan rakyat berpendapatan tinggi. Tanpa ini semua, bagaimana?” kata Arutchelvan.
Katanya lagi, 70% golongan berpendapatan rendah akan terkesan teruk sekiranya kerajaan meneruskan hasrat melaksanakan GST.
Naib Presiden Pakatan Rakyat, Tian Chua berharap agar perhimpunan ini akan diingati sebagai hari di mana rakyat mahukan ekonomi yang lebih baik.
“Saya harap perhimpunan ini diingati sebagai hari di mana rakyat bersatu untuk meluahkan hasrat mahukan ekonomi diuruskan dengan lebih baik” kata Tian.
Tian juga menegaskan bahawa GST bukan jawapan untuk menyelesaikan atau mengurangkan masalah korupsi.
Merah adalah warna rasmi dalam perhimpunan tersebut dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat dijangka hadir sama termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PAS Mohammad Sabu.
#May day #Parti Sosialis Malaysia (PSM) #Perhimpunan Bantah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)
;