Lampu 2019 meriahkan Putrajaya, tonjol kepelbagaian Malaysia

Fareez Azman
Disember 27, 2019 04:59 MYT
Grand Projection Mapping dipancarkan ke bangunan Istana Kehakiman Putrajaya antara tarikan utama Lampu 2019. Foto: Astro Awani
Cahaya yang berwarna-warni jadi pelengkap langit malam bagi warga Putrajaya apabila acara Light and Motion Putrajaya (Lampu) 2019 bermula hari ini hingga ambang tahun baharu pada 31 Disember.
Seperti tahun sebelumnya, penganjuran yang masuk kali ketujuh ini membawa pembaharuan setiap kali diadakan.
Kali ini, bertemakan "Kepelbagaian Malaysia", Lampu 2019 bakal membawa pengunjung menelusuri sejarah dan kejayaan yang ditempa negara sehingga memasuki era 2020.
Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Dr Aminuddin Hassim, sebanyak 22 tarikan utama disediakan sepanjang empat hari Lampu berlangsung.
Tumpuan utama, Grand Projection Mapping yang dipancarkan ke Bangunan Istana Kehakiman Putrajaya dengan pencahayaan berbentuk penceritaan.
"Kita (Perbadanan Putrajaya) banyak menyediakan pencahayaan berbentuk Geometri pada tahun lalu, tetapi kali ini kita bawakan pencahayaan yang membawa tema keunikan kebudayaan di Malaysia.
"Di sini kita bawakan China Town, Little India, Laman Kampung Melayu dan kita kumpulkan kesemua budaya ini di Perbadanan Putrajaya," jelasnya ketika ditemui media pada Jumaat.
Antara tarikan terbaharu, Planetarium 360 yang menyediakan permainan interaksi berasaskan lampu bagi pelbagai lapisan umur.
Selain itu, lebih 1,000 menu juadah turut disediakan dengan lebih 100 gerai dibuka kepada pengunjung.
Pengunjung juga boleh menyaksikan persembahan tarian singa, bangra, silat dan zapin pada sepanjang Lampu berlangsung.
Di ambang tahun baharu pula, pertunjukan bunga api bakal menerangi langit Putrajaya.
Lampu 2019 akan dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad hari ini.
#bunga api #China Town #Kepelbagaian Malaysia #Khalid Samad #Laman Kampung Melayu #lampu #LAMPU 2019 #Light and Motion #Little India #Perbadanan Putrajaya #Putrajaya
;