Lambakan makanan: Lebih 2,000 pek sehari di JB sepanjang PKP 2.0

Ernalisa Othman
Januari 27, 2021 14:20 MYT
NGO di Johor digesa memaklumkan lebih awal kepada JKM sebelum melakukan misi bantuan makanan kepada gelandangan. - Foto Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Lambakan bekalan makanan sebanyak lebih 2,000 pek sehari untuk golongan gelandangan didapati berlaku sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di bandar raya ini.
Ini susulan agihan yang tidak sistematik, terutama melibatkan bantuan yang dihulurkan golongan badan bukan kerajaan (NGO).
Angka lambakan diperoleh melalui rekod Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) negeri berkenaan.
Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita Dan Masyarakat Zaiton Ismail menggesa NGO di negeri ini supaya memaklumkan lebih awal sebelum melakukan misi bantuan makanan kepada gelandangan.
Langkah itu bertujuan memastikan pengagihan makanan lebih berstruktur dan tersusun bagi mengelak pembaziran.
"Kita menggalakkan NGO membuat permohonan tiga hari lebih awal bagi memudahkan urusan mereka dan urusan kita untuk mengatur.
"Ini sebab, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan PBSM akan menyusun atur jadual pengagihan makanan bagi mengelakkan lambakan dan lebihan makanan," katanya.
Di Johor sahaja, menurut Zaiton, lebih 45 NGO bergerak aktif termasuk melakukan misi menyalurkan bantuan makanan untuk gelandangan.
Beliau berkata, kira-kira 40 peratus gelandangan di Johor kini dikenal pasti, melibatkan 237 gelandangan, 77 daripadanya tidak memiliki rumah dan selebihnya menyewa bilik atau mempunyai kediaman sendiri.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan, bermula hari ini lebihan bekalan makanan akan diedarkan di kawasan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) berdekatan untuk mengelakkan pembaziran makanan.
Setakat ini, kerajaan negeri Johor menjadikan kawasan Laman Tun Seri Lanang sebagai pusat NGO melakukan aktiviti pengagihan makanan kepada gelandangan supaya dilihat lebih tersusun dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
BACA: Kerajaan tidak sekat NGO bantu mangsa banjir - Ismail Sabri
BACA: COVID-19: Kluster misi bantuan banjir dikenal pasti - KKM
BACA: Penduduk di kawasan PKP di Sarawak akan terima bantuan makanan Rabu ini
Terdahulu, Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, NGO disyarat mendaftar dengan JKM negeri masing masing jika mahu menyerahkan bantuan makanan kepada gelandangan, atau mana-mana pihak, susulan penularan COVID-19.
Pada 11 Jan lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP 2.0 di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka, Johor dan Sabah, untuk tempoh 14 hari bermula 13 Jan hingga 26 Jan.
Ia kemudiannya dilanjutkan hingga 4 Feb ini, dengan turut melibatkan tambahan satu negeri lagi iaitu Kelantan.
#NGO #SOP #jkm #Johor Bahru #PKP #agihan makanan #Lambakan #pembaziran #Zaiton Ismail #bantuan #bekalan makanan #COVID-19 #pprt #lebihan
;