Lambakan durian, peniaga mengeluh harga runtuh
Sinar Harian
Jun 6, 2023 08:45 MYT
Jun 6, 2023 08:45 MYT
JEMPOL: Perniagaan durian musim kali ini agak mencabar kepada peniaga memandangkan berlaku lambakan susulan hasilnya 'menjadi' dan pengeluarannya serentak.
Perkara itu diakui beberapa peniaga durian yang ditemui Sinar Harian ketika tinjauan sekitar Bandar Seri Jempol dan Bahau, di sini pada Isnin.
Seorang peniaga yang ditemui, Sahrizan Abd Jabbar, 41, dari Bandar Seri Jempol berkata, pengeluaran banyak tetapi permintaan kurang sekali gus menyebabkan ada peniaga bertindak 'buang harga'.
"Kali ini durian kita 'banjir'. Johor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan keluarkan hasil serentak pula. Boleh dikatakan jualan agak merosot sedikit berbanding tahun lepas pada bulan yang sama.
"Kalau tahun lepas saya boleh jual durian kira-kira tiga tan sehari, tetapi kali ini separuh daripadanya sahaja. Peniaga pula ada yang jual terlalu murah,asalkan habis, tidak tahulah macam mana mereka kira (keuntungan)," katanya.
Seorang lagi peniaga, Mohd Hazrizal Effendy Zakaria, 35, berkata, jualannya pada hari Isnin hingga Khamis agak perlahan berbanding hari cuti namun tidak menolak puncanya juga disebabkan faktor cuaca panas.
"Sudah empat tahun saya berniaga durian, kesemua bekalan dari Jelebu, cuma musim kali ini agak perlahan sikit jualan namun Alhamdulillah masih ada permintaan terutamanya hari minggu. Ia disebabkan durian Jelebu ini durian bukit rasanya lebih sedap dan padu berbanding durian yang ditanam di tanah rata," katanya.
Senada dengan Mohd Hazrizal, seorang lagi peniaga durian yang dikenali sebagai Kok Wah, 56, menjelaskan musim kali ini tidak mengambil bekalan durian yang banyak sebaliknya hanya dua tan sahaja.
"Tahun sudah saya boleh jual lebih tiga tan sehari. Kali ini tidak bolehlah, saya terpaksa jual sedikit sahaja kerana tidak mahu berlaku kerugian yang tinggi," katanya.
Media sebelum ini melaporkan lambakan durian itu juga disebabkan musimnya dijangka lebih panjang berbanding tahun-tahun sebelum, selain faktor cuaca panas yang memudahkan pokok durian berbunga malah hasil yang dikeluarkan lebih banyak bagi setiap pokok.
Sementara itu, seorang penggemar durian, Norhayati Khamis, 26, berkata, lambakan durian itu umpama durian runtuh buat penggemar durian sepertinya.
"Saya suka apa sahaja makanan yang berasaskan durian sama ada kek, biskut, kuih termasuklah tempoyak. Makan mentah lagi sedap, kita boleh beli borong dengan harga yang murah," katanya. - Sinar Harian