Lambakan buah tembikai: Harga jatuh hingga 80 sen per kilogram
Muhafandi Muhamad
Mei 19, 2021 09:35 MYT
Mei 19, 2021 09:35 MYT
JELI: Pekebun tembikai di Kuala Balah, di sini, berdepan kerugian ratusan ribu ringgit apabila tanaman mereka tidak dapat dipasarkan ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Ini merupakan tahun kedua mereka mengalami kerugian susulan lambakan tembikai yang tidak dapat dijual akibat buah yang rosak dan harga jatuh sehingga 80 sen sekilogram.
Aktiviti jualan di gerai di tepi Jalan Kuala Balah menuju ke bandar Jeli tidak rancak berikutan larangan perjalanan merentas daerah dan negeri.
Pekebun mendakwa, mereka mengeluarkan modal RM5,000 setiap seorang bagi mengusahakan kebun tembikai pada musim ini.
Susulan itu, Pegawai Pertanian Jajahan Jeli Norazreen Shamsudin berkata, pihaknya membantu mencari pemborong untuk memasarkan hasil pertanian pekebun tembikai yang mengikat kontrak dengan mereka.
Ia dilakukan dengan usaha Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
"Kita dapat banyak maklumat dari petani, tetapi sekarang ini, maklumat di ladang di Jeli yang kami terima, jualan pada 80 sen sekilogram.
"Harga runcit ialah RM1.20 hingga RM1.30 sekilogram. Kita di pihak Jabatan Pertanian cuba bantu cari pemborong, bersama agensi di bawah kementerian, untuk pasarkan hasil petani," kata Norazreen.
Menurutnya, seramai 50 pekebun mengusahakan buah tembikai di kawasan Kuala Balah dan Lubok Bongor dengan keluasan 50 hektar.
Pekebun yang menanam tembikai sejak Mac dan April lalu itu dijangka menuai hasil sehingga 7 tan setiap seorang tahun ini.
#tembikai
#Lambakan
#pekebun
#jeli
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#rentas daerah
#pemborong
#FAMA
#jabatan pertanian
#Kuala Balah
#Lubok Bongor
#kerugian
#sekatan