Lambakan bekalan minyak masak peket dapat minimumkan kenaikan harga makanan - Pakar
Fareez Azman
Jun 23, 2022 18:18 MYT
Jun 23, 2022 18:18 MYT
KUALA LUMPUR: Kenaikan harga makanan susulan pemansuhan minyak masak botol seperti diumumkan kerajaan, boleh diminimumkan, sekiranya bekalan minyak masak peket tidak dihadkan dua peket bagi setiap pembeli.
Demikian jelas Timbalan Pengarah Penyelidikan, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Rohami Shafie.
Ujarnya, langkah itu sedikit sebanyak memberi ruang terutama golongan B40, terutamanya peniaga, mendapatkan bekalan.
"Kerajaan kena tengok mekanisme bagaimana rakyat, terutama golongan B40, dapat minyak masak berpeket dalam jumlah yang mungkin tidak dihadkan dua sahaja, tapi meluas kepada semua pihak.
"Sebab minyak masak semua orang guna untuk masak. Dalam konteks ini, bekalan tidak terhad (untuk pengguna). Mungkin ada mekanisma kena lihat bagaimana nak salurkan kepada golongan B40.
"Saya nampak ini dapat membantu golongan ini, serta pihak berkaitan, terutama peniaga dan sebagainya. Kalau dapat atasi perkara ini dalam masa pendek dan panjang, isu (harga) barang naik boleh diminimumkan," katanya.
Mengulas mengenai pemansuhan subsidi minyak masak botol pula, ujarnya, kerajaan telah berbelanja begitu besar dalam membantu semua golongan rakyat terutama ketika pandemik COVID-19.
Malah ujarnya, subsidi minyak masak peket dikekalkan pada tahun ini, dan angka itu terus bertambah setiap tahun.
"Kerajaan telah beri subsidi cukup banyak RM4 bilion pada tahun 2022, kerajaan cuba dengan kekangan kewangan yang ada.
"Satu perkara perlu diketahui semua pihak, kita perlu ada pengurusan pembangunan baik untuk bantu semua pihak, terutama golongan B40, M40, OKU dan pesara, kerajaan cuba bantu agar semua dapat manfaat," katanya lagi.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, tindakan kerajaan memansuhkan subsidi minyak masak botol satu hingga lima kilogram susulan terdapat penyelewengan berlaku oleh pihak tertentu.
Bagaimanapun ujarnya, subsidi minyak masak peket terus dikekalkan bagi membantu golongan B40 mendapatkan bekalan bahan itu dengan perbelanjaan RM4 bilion bagi tahun 2022.
Bagi tahun ini sahaja jelas Ismail, sebanyak 60,000 tan metrik minyak masak peket telah disubsidi kerajaan bagi menampung keperluan pengguna.