Laman web UM digodam: Polis terima satu laporan

Sinar Harian
Oktober 20, 2019 11:03 MYT
ABDUL HAMID: Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Jenayah Komputer 1997. - Gambar fail
Polis mengesahkan terima satu laporan daripada pihak Universiti Malaya (UM) berhubung insiden laman web universiti itu yang digodam, baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, laporan dibuat oleh Pengarah Pusat Teknologi Maklumat UM pada jam 1.15 pagi, pada Sabtu.
"Ya, polis terima satu laporan yang dibuat di Balai Polis Pantai.
"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Jenayah Komputer 1997," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Pada Jumaat, dalam satu kenyataan, UM berkata sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden laman web e-bayaran universiti itu digodam lewat malam pada Khamis.
Kenyataan itu berkata, laman web berkenaan masih dalam proses ujian dan akan diaktifkan dalam masa terdekat.
Sistem tersebut ditutup bagi membolehkan siasatan dan kerja pembaikan dilaksanakan.
Pada Khamis, pautan berbayar di laman web rasmi UM menjadi sasaran penggodam yang tidak dikenal pasti bagaimanapun ia turut dikaitkan dengan isu protes membabitkan graduan universiti berkenaan, Wong Yan Ke pada majlis konvokesyen baru-baru ini.
Namun, graduan kejuruteraan awam itu menafikan penglibatannya menggodam laman web e-bayaran universiti tersebut.
#Abdul Hamid Bador #Akta Jenayah Komputer 1997 #e-bayaran #godam #graduan biadab #jenayah #Ketua Polis Negara #konvokesyen #Laman web #penggodam #polis #protes #Pusat Teknologi Maklumat UM #siasatan #UM #universiti malaya #Wong Yan Ke
;