Laman web Astro Awani beri tarikan kepada Gen X dan Gen Y

Astro Awani
Mac 21, 2013 08:52 MYT
Siaran ‘Awani Live’ merupakan antara faktor yang memberikan kelainan kepada laman web berita astroawani.com berbanding portal-portal berita tempatan lain.
Presiden Persatuan Usahawan Internet Malaysia, Mohd Azrul Mohd Nor berkata siaran tersebut membolehkan pengguna-pengguna di luar Malaysia mengetahui isu-isu yang berlaku di dalam negara.
”Orang-orang di luar negara misalnya boleh tau maklumat-maklumat dan isu-isu semasa yang berlaku seperti PRU, Sulu dan sebagainya,” kata beliau dalam temubual di KiniTrending pada Rabu.
Selain itu, Mohd Azrul berkata kebanyakan konten astroawani.com lebih cederung kepada golongan muda khususnya Generasi X dan Generasi Y.
Menurutnya, golongan ini merangkumi lebih 50 peratus pengguna di negara ini, jesteru memberi kelebihan kepada laman tersebut.
“Konten Astro Awani ni lebih kepada semasa dan berkait kepada kehendak kehendak generasi muda seperti berita ‘parlimen bubar’ dan juga ‘Tuit Pilihan’,” kata beliau.
Beliau juga berkata astroawani.com memberi fokus kepada maklumat-maklumat yang transparen dan telus.
Tambah beliau, kekuatan astroawani.com juga terletak pada jenamanya sendiri serta jumlah pengikut Twitter dan Facebook yang sedia ada.
Stesyen berita 24 jam pertama Malaysia, Astro Awani hari ini secara rasminya melancarkan laman webnya, www.astroawani.com.
Penonton dapat mengikuti segala perkembangan berita segenap dimensi termasuk siaran langsung berita setiap jam melalui laman web itu.
Selaras dengan kehendak semasa, platform berkenaan juga mengukuhkan lagi interaksi antara Astro Awani dengan penonton.
Selain laporan dan analisis berita, anda juga boleh mengikuti segala program terbitan Awani seperti Agenda Awani, U-Wartawan, Analisis Awani, Menuju PRU-13 dan lain-lain.
Pembaca juga boleh melontarkan suara dan pandangan ke platform-platform yang disediakan termasuk Twitter, Instagram, Facebook, YouTube dan emel.
#Astro Awani #Kini Trending #Laman web #media baru
;