Laman sesawang Uniqlo, GU Jepun digodam, maklumat peribadi lebih 460,000 pelanggan bocor

Bernama
Mei 14, 2019 14:23 MYT
Foto menunjukkan sebuah kedai Uniqlo yang terletak di 5th Ave di New York, AS, 19 Mac, 2019. REUTERS/Gambar Hiasan
Syarikat Fast Retailing Co dari Jepun pada Selasa berkata maklumat peribadi daripada sejumlah 461,091 akaun pelanggan laman sesawang beli-belah Uniqlo dan GU mungkin telah diceroboh menerusi akses tanpa kebenaran, lapor agensi berita China Xinhua.
Kedua-dua laman sesawang beli-belah telah digodam antara 23 April dan 10 Mei, dan data pengguna termasuk nama, alamat, nombor telefon serta maklumat kad kredit mungkin telah dibocorkan, menurut pengusaha kedua-dua jenama.
"Kami memohon maaf kepada pelanggan kami dan berjanji akan mencegah perkara ini daripada berulang," menurut syarikat itu dalam satu kenyataan.
Fast Retailing telah mengambil langkah untuk menghalang akses yang tidak dibenarkan dan membatalkan kata laluan akaun yang diceroboh.
Ia turut meminta semua pelanggan yang terjejas untuk menetapkan semula kata laluan bagi akaun mereka di kedai dalam talian syarikat itu.
Fast Retailing berkata setakat ini tiada laporan bahawa maklumat terbabit telah digunakan oleh pihak ketiga.
Bagaimanapun, syarikat itu berkata nombor pengenalan dan kata lauan yang bocor sebelum ini daripada pengendali laman sesawang lain mungkin telah digunakan dalam akses yang tidak dibenarkan.
-- BERNAMA
#akaun diceroboh #akses #bocor #ceroboh #China #data pelanggan #Fast Retailing Co #godam #GU #Jepun #kata laluan #laman sesawang #Laman web #maklumat kad kredit #Uniqlo