Laman sesawang rasmi digodam, JIM beri jaminan tiada kebocoran maklumat

Bernama
April 4, 2023 09:20 MYT
Laman sesawang JIM itu dijangka pulih dan boleh diakses semula oleh orang ramai dalam masa terdekat. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Laman sesawang rasmi Jabatan Imigresen (JIM) telah digodam pada pukul 2 pagi hari ini oleh penggodam yang menggelarkan diri sebagai 'CaptainSmok3r'.
Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh dalam kenyataan hari ini bahawa serangan siber berbentuk defacement itu telah mengakibatkan muka hadapan laman sesawang JIM ditukar kepada paparan imej yang lain.
Beliau berkata JIM telah mengambil langkah pembetulan serta-merta dengan menutup capaian laman sesawang daripada akses orang ramai dan melakukan kerja baik pulih serta konfigurasi keselamatan laman sesawang.
"Jabatan ini menegaskan bahawa tiada sebarang kebocoran maklumat berlaku," kata Ruslin, yang turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat andaian atau spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan mengganggu ketenteraman awam.
Ruslin berkata laman sesawang JIM itu dijangka pulih dan boleh diakses semula oleh orang ramai dalam masa terdekat.
Beliau berkata capaian yang berkaitan dengan perkhidmatan JIM seperti myIMMs dan SSPI bagaimanapun tidak terkesan dengan insiden serangan siber itu.
Bahagian Teknologi Maklumat JIM juga telah mengadakan perbincangan dan bekerjasama dengan pihak Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan CyberSecurity bagi membantu jabatan itu dalam tindakan pengukuhan laman web, katanya.
-- BERNAMA
#jabatan imigresen #digodam CaptainSmok3r #Ruslin Jusoh #keselamatan laman sesawang