Laman Cahaya Lebaran gamit nostalgia sambut raya di kampung
Bernama
April 20, 2023 05:00 MYT
April 20, 2023 05:00 MYT
ALOR GAJAH: Jika sebelum ini, 'Little Beijing' di Machap Jaya menjadi tumpuan 'instagrammable', kini kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sekali lagi menjadi tumpuan untuk merakam pelbagai momen menarik dengan hiasan ribuan lampu neon, limpah dan LED berwarna-warni di Laman Cahaya Lebaran, Hutan Percha di sini.
Selain hiasan pelbagai lampu yang menonjolkan tema Aidilfitri, sebanyak 200 pelita turut di pasang di laluan sepanjang kira-kira 500 meter menuju ke Laman Cahaya Lebaran bagi 'menghidupkan' kemeriahan malam tujuh likur dalam suasana kampung.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Hutan Percha Ahmad Syukri Zulkifli berkata lebih RM20,000 dibelanjakan penduduk KRT itu dalam usaha menghidupkan suasana hari raya menggunakan elemen lampu berkonsep moden dan tradisional.
Beliau berkata inisiatif yang mengambil masa kira-kira dua minggu itu dilakukan itu bukan sahaja untuk menyambut kedatangan Aidilfitri, malah ia berjaya mengeratkan ukhuwah dalam kalangan penduduk pelbagai kaum dalam KRT berkenaan selain meraikan kepulangan perantau untuk beraya di kampung itu.
"Laman Cahaya Lebaran boleh dikunjungi orang awam sepanjang sebulan sehingga 20 Mei ini dan pelbagai aktiviti jualan dan program bersama komuniti setempat dilaksanakan seperti membakar lemang, mengacau dodol dan menganyam ketupat.
"Aktiviti ini bertujuan mengembalikan nostalgia sambutan hari raya yang diraikan secara bergotong-royong bersama penduduk setempat selain menyediakan tempat menarik untuk orang ramai khususnya generasi muda bergambar," katanya kepada Bernama.
Ahmad Syukri berkata antara cabaran untuk mewujudkan Laman Cahaya Lebaran ialah risiko terkena renjatan elektrik selain berlakunya insiden kemalangan kecil seperti jatuh tangga ketika memasang dan menghias lampu di kawasan tinggi namun tiada kejadian serius berlaku.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya Ngwe Hee Sem berkata Laman Cahaya Lebaran menjadi produk pelancongan baharu di kawasan DUN berkenaan sekali gus meraikan kepelbagaian perayaan yang disambut penduduk berbilang kaum di negara ini.
"Bagi sambutan Tahun Baru Cina kita ada Little Beijing iaitu di Kampung Baru Machap Umboo dan Kampung Machap Baru, manakala bagi perayaan Deepavali, kita lakukan inisiatif sama di Taman Pengkalan Indah dan bagi meraikan Aidilfitri, kita ada Laman Cahaya Lebaran.
"Inisiatif ini dilakukan sendiri penduduk secara bergotong-royong serta semangat muhibah dan secara tidak langsung dapat memperkukuh perpaduan dalam kalangan penduduk berbilang kaum," katanya yang juga Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri.
Sementara itu, pengunjung Shazrina Ismail, 20, berkata hiasan dan suasana yang diwujudkan di Laman Cahaya Lebaran menyemarakkan 'mood' untuk menyambut hari raya setelah dua tahun tidak dapat menyambutnya secara meriah dan terbuka disebabkan penularan COVID-19.
Pekerja swasta itu berkata beliau mengetahui tentang laman berkenaan di media sosial dan berkunjung ke situ untuk merakamkan gambar bersama rakan-rakannya.
Penduduk kawasan berkenaan, Salmah Derani, 50, berkata usaha yang dilakukan penduduk mengembalikan nostalgiannya setiap kali menyambut hari raya di kampungnya di Pahang.
"Meriah...suasana seperti ini susah hendak kita dapat sekarang terutama jika tinggal di bandar. Semua berkumpul dan banyak aktiviti komuniti dilakukan secara bersama," katanya.
-- BERNAMA