Lama tidak beroperasi, ada pengusaha pelancongan tukar bidang, perniagaan
Astro Awani
Ogos 10, 2021 17:59 MYT
Ogos 10, 2021 17:59 MYT
KUALA LUMPUR: Majlis Pelancongan Malaysia mendedahkan, disebabkan terlalu lama tidak beroperasi, ada penggiat industri itu yang kini sudah bertukar bidang dan tidak lagi bergiat dalam lapangan tersebut.
Presidennya, Uzaidi Udanis berkata, disebabkan agak lama perniagaan tidak beroperasi, ada di antara mereka terpaksa menjalankan perniagaan lain demi menyara kehidupan.
Begitupun, katanya, kelonggaran diumumkan baru-baru ini memberi sedikit sinar buat pengusaha pelancongan, namun, dalam masa sama, mereka akan tetap memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi sebaiknya.
“Kita tahu ada ramai pegawai pemantau, pihak berkuasa, polis, tentera, Rela, memang kita cukup untuk pantau semua, segala SOP, segala tempat perlu dipantau.
“Apa yang penting, harus untuk kita memperkasakan pihak industri. Mereka seharusnya bertanggungjawab dalam pemantauan ini kerana ia beri kesan besar sekiranya ada kluster pelancongan.
“Setakat ini, tiada kluster pelancongan yang kita tahu tapi kita harus perkasakan penggiat industri untuk pastikan semua SOP itu dipatuhi,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Selasa.
PPN Fasa 2 | Persediaan pengusaha pelancongan di Malaysia
Tambah beliau, kelonggaran terbaru itu dijangka menggerakkan ekonomi setempat bahkan ekonomi negeri dan negara juga akan menerima kesan positif.
Pulau Langkawi sedia terima pelancong
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir berkata, Pulau Langkawi kini sudah bersedia untuk menerima kehadiran pelancong.
PPN Fasa 2: Sinar baharu untuk Langkawi
Bahkan, kata Zainuddin, mereka juga bersedia untuk memastikan SOP dipatuhi sebaiknya dan sekiranya ada yang ingkar, mereka tidak teragak-agak untuk menutup premis tersebut.
“Pasal SOP ini memang kita tidak akan berkompromi sebab kita ada dua laluan masuk sahaja. Pertama di lapangan terbang dan kedua melalui jeti. Pihak berkuasa akan mengetatkan kawalan di situ.
“Setiap pelancong akan diperiksa supaya mereka yang dua dos sahaja boleh melancong di Langkawi. Setiap pengusah pelancongan di Langkawi juga, kita keluarkan sijil bahawa setiap premis, pekerja mereka telah divaksin.
“Itulah langkah yang patut kita ambil supaya pihak terbabit tidak langgar SOP. Kalau ada langgar SOP, kita tak berkompromi,” ujarnya.
Tambahnya, tindakan tegas perlu diambil kerana mereka enggan kes merebak dan kemudian mencacatkan dan memburukkan imej pelancongan di pulau peranginan tersebut.
#pelancongan
#SOP
#Langkawi
#ekonomi
#pelancong
#langgar SOP
#pulau
#Majlis Pelancongan Malaysia
#polis
#tentera
#RELA
#pemantauan
#pantau SOP