Lam Thye terbit buku biografi kisah kehidupannya
Sinar Harian
Mei 11, 2023 07:31 MYT
Mei 11, 2023 07:31 MYT
KUALA LUMPUR: Aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye tampil dengan buku biografi sulungnya berjudul ‘Aura Lee Lam Thye’.
Lam Thye yang berasal dari Menglembu, Perak berkata, buku berkenaan memaparkan liku kehidupannya bermula sebagai Setiausaha Eksekutif Kesatuan Kebangsaan Pekerja Perdagangan (NUCW) sehinggalah beliau bertanding dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada usia 23 tahun sebelum aktif sebagai aktivis masyarakat.
Menurut bekas ADUN Bukit Nanas dan Ahli Parlimen Bukit Bintang berusia 76 tahun, buku berkenaan ditulis bukan untuk mengangkat namanya semata-mata tetapi boleh menjadi sumber rujukan dan inspirasi mereka atau anak muda yang ingin berkecimpung dalam bidang profesional termasuk politik dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Selepas 21 tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat, saya akhirnya mengumumkan persaraan pada tahun 1990, di situlah cabaran bermula.
"Di dalam buku ini saya menjawab segala persoalan dan tuduhan kononnya saya pengkhianat kepada parti yang saya wakili ketika itu,” katanya kepada Sinar Harian.
Lam Thye berkata, selepas meninggalkan dunia politik, hati beliau masih bersama rakyat dan masyarakat setempat menyebabkan beliau masih meneruskan operasi pusat khidmat masyarakatnya yang terletak di Jalan Tun Razak ketika itu.
“NGO pertama saya sertai ialah Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) pada tahun 1992, diikuti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pada tahun 1992.
“Masa saya banyak dihabiskan dengan kegiatan sukarelawan, malah saya sering dijemput bertemu ibu bapa dan guru menyampaikan ceramah di sekolah berkenaan bahayanya terlibat dengan najis dadah,” katanya.
Difahamkan penglibatannya dalam NGO terserlah apabila beliau terlibat membantu golongan kurang berkemampuan serta aktiviti pencegahan jenayah menerusi Eco World Foundation dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).
“Jenayah dan perlakuan jenayah adalah sesuatu yang amat serius, MCPF sangat aktif mengadakan pelbagai usaha pencegahan jenayah dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM),” kata Lam Thye.
Tambah Lam Thye, penglibatannya dalam masyarakat diteruskan menerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) yang banyak membantu mengetengahkan isu keselamatan dan kesihatan tempat kerja dalam sektor awam dan swasta.
“Setiap pekerja berhak mendapat ruang kerja yang selamat dan ramai majikan mulai sedar tentang keperluan membentuk dan mengekalkan persekitaran kerja yang selamat,” katanya.
Orang ramai yang ingin mendapat buku ‘Aura Lee Lam Thye’ boleh menghubungi Yap Khean Ann di talian 012-2012587. - Sinar Harian