Lam Thye mahu kematian amah disiasat hingga ke akar umbi

Bernama
Februari 12, 2018 04:22 MYT
Pihak berkuasa juga perlu memastikan hukuman yang akan dikenakan juga setimpal dengan perlakuan terhadap mangsa. - Foto fail Bernama
Tan Sri Lee Lam Thye meminta pihak berkuasa menyiasat hingga ke akar umbi kes pembantu rumah warga Indonesia yang meninggal dunia semalam disyaki akibat didera majikannya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Naib pengerusi kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia itu berkata pihak berkuasa juga perlu memastikan hukuman yang akan dikenakan juga setimpal dengan perlakuan terhadap mangsa.
"Kejadian itu menjurus kepada pencabulan hak asasi manusia, sesuatu yang tidak boleh diterima," kata Lee, yang terkejut dengan kejadian itu, kepada Bernama.
Adelina Lisio, 28, meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam selepas dia dipercayai didera di suatu alamat di Taman Kota Permai 2.
Polis menahan tiga orang, masing-masing berumur 36, 39 dan 60 tahun berhubung kes itu.
Menurut laporan, beberapa jiran mendakwa wanita berkenaan dipaksa tidur bersama seekor anjing jenis Rottweiler di anjung sebuah rumah selama lebih sebulan sebelum dia ditemukan pada Sabtu. Mangsa mempunyai kesan lebam pada kepala dan muka serta luka yang mengalami jangkitan pada kaki dan tangan.
Lee, aktivis sosial terkemuka, berkata majikan tidak sepatutnya mendera pembantu rumah walau atas apa alasan sekali pun, dan semua masalah perlu diselesaikan, tanpa melayan mereka dengan buruk.
Seorang wakil pejabat konsul Indonesia di Pulau Pinang hari ini berkata Adelina, yang keluarganya tinggal di Nusa Tenggara, Kalimantan, bekerja dengan keluarga warga tempatan itu sejak 2014.
Neni Kurniati berkata pejabat konsul itu memandang serius perkara tersebut dan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa Malaysia dalam siasatan mereka.
-- BERNAMA
#amah #dera #Hospital Bukit Mertajam #Lee Lam Thye #mati #pembantu rumah #pulau pinang
;