Laluan terjejas tanah runtuh di Cameron Highlands selamat dilalui

Sinar Harian
September 22, 2024 17:03 MYT
Kawasan runtuhan tanah di Jalan Besar Brinchang ditutup dengan kanvas. - Foto ihsan pembaca
CAMERON HIGHLANDS: Laluan di Kilometer (KM) 67, Jalan Besar Brinchang yang terjejas akibat tanah runtuh pada Sabtu selamat dilalui oleh semua jenis kenderaan.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden Azri Ramli berkata, kedua-dua laluan tersebut telah dibuka selepas kerja-kerja pembersihan selesai dijalankan.
"Kedua-dua laluan telah dibuka sekitar jam 3 petang semalam.
"Bagaimanapun kerja-kerja pembaikan cerun masih dilakukan dan kawalan keselamatan masih dilakukan sehingga notis Jabatan Kerja Raya (JKR) dikeluarkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands, Wan Zaidi Wan Mokhtar berkata, pemantauan telah dilakukan melibatkan runtuhan di cerun setinggi 18 meter itu.
"Pemerhatian mendapati tindakan keselamatan dengan meletakkan papan tanda amaran telah dilaksanakan oleh pihak kontraktor malah kawasan runtuhan juga telah ditutup dengan kanvas.
"Pemantauan bersama agensi berkaitan akan diteruskan dengan mengambil kira faktor cuaca semasa demi keselamatan pengguna jalan raya," katanya.
Media melaporkan kejadian sekitar jam 11 pagi itu menyebabkan sebahagian laluan jalan terhalang disebabkan tanah runtuh, pokok dan tiang elektrik tumbang.
Sebuah kenderaan yang diparkir berhampiran kawasan itu juga rosak dihempap tiang elektrik yang tumbang, namun ia tidak melibatkan sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa. - Sinar Harian
#Cameron Highlands #tanah runtuh #tahap keselamatan #jalan raya
;