Laluan Pos Betau-Lembah Bertam kembali dibuka 7 Julai

Norfarhiza Mohd Atar
Julai 1, 2022 05:15 MYT
Jalan Pos Betau-Lembah Bertam yang mengalami mendapan dan kerosakan sebelum ini akan dibuka semula pada 7 Julai.
CAMERO HIGHLANDS: Jalan Pos Betau-Lembah Bertam yang mengalami mendapan dan kerosakan sebelum ini akan dibuka semula bermula 7 Julai.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Cameron Highlands, laluan yang menghubungkan Pekan Ringlet dan Sungai Koyan itu bagaimanapun hanya boleh dilalui oleh kenderaan ringan di bawah 5 tan sahaja.
"Laluan FT 0102 Seksyen 18.650-19.650, Jalan Pos Betau-Lembah Bertam akan dibuka bermula 8 pagi Khamis depan dengan ia melibatkan satu laluan sahaja.
"Ini memandangkan kerja-kerja pembaikan kekal sedang dilaksanakan di sebelah laluan yang ditutup," katanya menerusi kenyataan di laman Facebook semalam.
Dalam pada itu, JKR Cameron Highlands menyarankan kenderaan berat yang melebihi 5 tan boleh menggunakan laluan dari Simpang Pulai/Alor Setar ke Sungai Koyan/Lipis iaitu dari Jalan Pos Slim–Lojing ke Jalan Bentong–Gua Musang ke Jalan Central Spine ke Jalan Berchang-Sungai Koyan.
Manakala dari Tapah/Kuala Lumpur/Bentong ke Sungai Koyan/Lipis boleh melalui Jalan Tapah-Cameron Highlands ke Jalan Pos Slim–Lojing ke Jalan Bentong–Gua Musang ke Jalan Central Spine ke Jalan Berchang–Sungai Koyan.
Bagi kenderaan berat dari Sungai Koyan/Lipis ke Tanah Rata dari Jalan Berchang–Sungai Koyan ke Jalan Central Spine ke Jalan Bentong–Gua Musang ke Jalan Pos Slim–Lojing ke Jalan Tapah–Cameron Highlands.
Media sebelum ini menyiarkan Jalan Pos Betau-Lembah Bertam yang menghubungkan Pekan Ringlet dan Sungai Koyan ditutup sepenuhnya bermula 30 April lalu berikutan struktur jalan yang mendap di Seksyen 19.150.
Pihak JKR turut memohon semua pengguna jalan berkenaan agar berhati-hati ketika menggunakan laluan tersebut dan mematuhi arahan papan tanda yang telah disediakan.
#laluan Pos Betau-Lembah Bertam #Cameron Highlands #Jalan rosak #jalan tutup
;