Laluan penerbangan baharu keputusan komersial syarikat penerbangan - MOT

Bernama
Julai 17, 2024 02:50 MYT
MOT berkata pihak MAHB turut menawarkan insentif kepada mana-mana syarikat penerbangan yang menyediakan perkhidmatan antarabangsa ke lapangan kendaliannya. - Foto fail/Dagang News
KUALA LUMPUR: Sebarang keputusan berhubung perkhidmatan penerbangan ke mana-mana laluan adalah keputusan komersial yang dibuat oleh syarikat penerbangan, kata Kementerian Pengangkutan (MOT).
Dalam jawapan bertulis disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen pada Selasa, kementerian itu berkata keputusan berkenaan juga berasaskan aspek daya maju komersial laluan terbabit.
"(Atas dasar itu) kerajaan sentiasa terbuka dan menggalakkan mana-mana syarikat penerbangan Malaysia atau China untuk menyediakan perkhidmatan penerbangan antarabangsa secara terus dari China ke mana-mana destinasi di negara ini, termasuk ke Labuan," katanya.
Kenyataan itu bagi menjawab pertanyaan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (PN-Labuan) sama ada kerajaan mempunyai perancangan untuk membuka dan membenarkan penerbangan terus dari China ke Labuan dalam konteks meningkatkan ekonomi, terutama sektor pelancongan.
Mengulas selanjutnya, MOT berkata pihak Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) turut menawarkan insentif kepada mana-mana syarikat penerbangan yang menyediakan perkhidmatan antarabangsa ke lapangan kendaliannya, termasuk Lapangan Terbang Labuan melalui Program Airline X-celebration.
Insentif itu diberikan dalam bentuk rebat pendaratan, sewaan pejabat di lapangan terbang dan sokongan pemasaran.
-- BERNAMA
#perkhidmatan penerbangan #MOT #syarikat penerbangan #laluan