Laluan pelancongan dengan memandu suburkan ekonomi pelancongan di Asia Tenggara - Tiong
Bernama
Januari 31, 2024 06:15 MYT
Januari 31, 2024 06:15 MYT
PUTRAJAYA: Pelancongan menerusi kaedah memandu sendiri kenderaan akan dapat menyuburkan kembali ekonomi pelancongan di Asia Tenggara, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Katanya menerusi satu perancangan "pelancongan secara memandu" ini, pelancong akan dapat menikmati keindahan alam semula jadi, melawat mercu tanda terkenal, tempat-tempat bersejarah, kebudayaan tradisional, serta lain-lain tempat menarik di serata tempat di Malaysia.
Beliau berkata laluan yang dicadangkan dalam kaedah pelancongan ini adalah Hat Yai-Sungai Kolok-Kota Bharu-Kuala Lumpur, dan Hat Yai-Alor Setar-George Town.
"Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bertekad akan bekerjasama secara proaktif dengan pelbagai jabatan dan agensi yang berkaitan bagi mengatur rundingan seterusnya dengan kerajaan Thailand berhubung laluan terpilih untuk kaedah pelancongan berkenaan, bagi mempromosi kelancaran pelaksanaannya," katanya dalam kenyataan semalam.
Rancangan laluan-laluan berkenaan dibangkitkan Tiong pada mesyuarat dengan menteri-menteri dari Thailand, Laos dan Vietnam, di luar Forum Pelancongan ASEAN 2024 (ATF 2024), di Vientiane, Laos.
Dalam kenyataan yang sama Tiong berkata Malaysia dan negara-negara ASEAN sedang giat mempromosi kerjasama serantau dan menekankan kepentingan pertukaran budaya serta perpaduan untuk meningkatkan status ASEAN sebagai destinasi pelancongan yang penting.
Beliau berkata negara-negara ASEAN adalah komuniti yang tidak terhad mempromosi tarikan pelancong semata-mata, tetapi juga berusaha mencipta pengalaman menarik yang sesuai dengan kehendak pelancong, meninggalkan kenangan indah di samping menjalin hubungan berkekalan dengan rantau ASEAN.
"Pada masa ini, industri perhotelan dan pelancongan secara beransur-ansur, kembali berkembang maju, dan perubahan, cabaran serta trend yang dibawa oleh era pasca pandemik telah memasuki fasa baharu.
"Sekarang adalah waktu untuk merealisasikan sepenuhnya potensi dan peluang besar yang boleh dihasilkan dan memanfaatkan potensi ASEAN sebagai hab baharu untuk pelancongan global," katanya.
Tiong berkata semasa mesyuarat itu, beliau menyuarakan harapan Malaysia untuk kerjasama erat dengan negara anggota bagi melaksanakan pelbagai projek dan inisiatif, semasa negara memegang peranan sebagai pengerusi ASEAN pada 2025.
Sebagai pengerusi ASEAN nanti, Malaysia akan menganjurkan Forum Pelancongan ASEAN di Johor Bahru dengan tema "United in Motion-Shaping ASEAN's Tourism Tomorrow" bagi memupuk semangat perpaduan dan kerjasama yang merentasi sempadan geografi dan kepelbagaian budaya.
-- BERNAMA