Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang sudah 97 peratus siap
Rahimah Abdullah
April 5, 2017 14:09 MYT
April 5, 2017 14:09 MYT
Tahap kemajuan keseluruhan Projek AliranTransit Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang adalah pada tahap 97 peratus, ujar Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz.
Jelasnya, ketika ini, kerja-kerja akhir Fasa Kedua Stesen Semantan ke Stesen Kajang sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada Julai tahun ini.
"Pada masa ini, kerja-kerja akhir Fasa Kedua sedang dilaksanakan termasuk kerja-kerja pembinaan dan reka bentuk dalaman, struktur-struktur pintu masuk dan laluan pejalan kaki, lanskap dan pemasangan peralatan sistem elektrikal dan mekanikal.
"Kerja pemeriksaan dan pertauliahan sistem akan dimulakan tidak lama lagi," katanya semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Merbok, Prof. Dr Ismail Daut yang mahu tahu status projek MRT dari Semantan ke Kajang di Dewan Rakyat.
Tambahnya, kos pembinaan keseluruhan projek MRT laluan Sungai Buloh-Kajang adalah dianggarkan sebanyak RM21 bilion.
"Kos ini adalah lebih rendah daripada kos yang disasarkan iaitu sebanyak RM23 bilion," ujarnya.
Fasa Satu MRT laluan Stesen Sungai Buloh-Stesen Semantan siap mengikut jadual dan dibuka kepada orang ramai pada 16 Disember tahun lalu.