'Laluan mati' di jejantas Skybridge Kota Kinabalu diselesaikan dalam tempoh enam bulan

Eleanor Michelle Patrick
September 10, 2021 15:31 MYT
Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor (kanan) bersama Datuk Bandar Bandaraya Kota Kinabalu Noorliza Awang Alip pada majlis perasmian KK Sky Bridge pada 3 September 2021.
KOTA KINABALU: Jejantas Skybridge yang terletak di tengah-tengah bandaraya Kota Kinabalu dan yang tidak bersambung ke salah sebuah pusat membeli-belah, dijangka diselesaikan dalam tempoh enam bulan.
Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Noorliza Awang Alip berkata pihak Kompleks Beli-Belah Centre Point telah menyatakan hasrat untuk membina sendiri tangga dan laluan masuk ke pusat beli-belah itu.
"Dalam aku janji yang dikeluarkan oleh pihak Centre Point mereka akan menanggung sendiri kos pembinaan berkaitan," katanya dalam satu kenyataan media, pada Khamis.
Sejak dibuka kepada orang awam pada 9 September lalu, Noorliza berharap agar jejantas ini dapat meningkatkan keselamatan dan keselesaan kepada pejalan kaki selain membantu menyediakan kemudahan perniagaan kepada usahawan.
BACA: Jejantas 'Skybridge' bernilai RM31.5 juta di Kota Kinabalu dibuka 9 Sept
"Bagi usahawan kecil dan sederhana yang ingin membuka premis perniagaan di kawasan itu boleh mendapatkan borang tawaran untuk sewaan lot yang akan diedarkan dalam waktu terdekat," katanya.
Jejantas bernilai RM31.5 juta dan sepanjang 400 meter ini dilengkapi dengan 20 kiosk niaga berhawa dingin, eskalator dan lif untuk golongan kelainan upaya (OKU).
Ia turut menghubungkan Pusat Komersial Api-Api, Pusat Beli-Belah Centre Point, Pusat Komersial Warisan Square dan Oceanus Waterfront.
#Jejantas Skybridge #Kota Kinabalu #kompleks beli-belah #Centre Point
;