Laluan kontra di Kesas esok hingga 21 Mei ini
Bernama
Mei 17, 2023 18:34 MYT
Mei 17, 2023 18:34 MYT
SHAH ALAM: Dua laluan kontra akan dibuka di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) pada 18 dan 21 Mei ini untuk membolehkan kerja-kerja pelancaran rasuk jambatan merentasi lebuh raya itu dijalankan bagi projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).
Dalam kenyataan bersama Kesas dan WCE memaklumkan pelaksanaan laluan kontra itu dijalankan secara berperingkat bermula dari Kilometer (KM) 23.0 hingga KM23.5 di kedua-dua arah dari 10 malam hingga 5 pagi.
"Laluan kontra arah timur (arah Subang/Kuala Lumpur) pada 18 Mei ini, manakala laluan kontra arah barat (arah Shah Alam/Klang) pada 21 Mei," menurut kenyataan bersama itu.
Pengguna Kesas dinasihatkan agar memandu dengan berhati-hati dan mematuhi arahan papan tanda serta petugas trafik di lokasi berkenaan sepanjang tempoh pelaksanaan kerja-kerja tersebut.
-- BERNAMA