Laluan khas basikal, tetapi akhirnya penunggang motosikal yang guna?
Hafiz Marzukhi
Februari 26, 2018 12:23 MYT
Februari 26, 2018 12:23 MYT
Laluan dikhaskan untuk penunggang berbasikal tetapi akhirnya ia digunakan oleh penunggang motosikal.
Inilah realiti sebenar kemudahan laluan basikal di Kuala Lumpur yang sudah tersedia untuk diguna, namun penggunaannya berada di tahap yang rendah.
Tinjauan Astro AWANI di beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur mendapati ramai penunggang motosikal menggunakan laluan tersebut bagi tujuan untuk 'meloloskan' diri daripada kesesakan lalu lintas.
Malah, sepanjang sejam tinjauan dibuat ketika waktu puncak antara jam 7 hingga 8 pagi mendapati hanya tiga basikal yang melalui laluan tersebut berbanding ratusan motosikal yang menggunakan laluan tersebut.
"Inilah keadaan setiap hari. Jarang untuk nampak orang berbasikal ke kerja. Kalau ada pun, biasanya warga asing yang berbasikal," kata salah seorang pejalan kaki yang enggan dikenali.
Tambahnya, walaupun niat untuk mewujudkan lorong khas berbasikal itu baik, namun realiti pelaksanaannya berbeza.
"Mungkin lebih baik untuk buat lorong motosikal. Ia lebih praktikal bagi keadaan di Kuala Lumpur ini," katanya.
Sebelum ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Mhd Amin Nordin dilaporkan berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mengaudit semula laluan basikal sepanjang 11 kilometer di sekitar bandar raya ini.
Tambah beliau, audit itu akan dijalankan selama dua bulan bagi memastikan laluan itu selamat dan berkesan untuk kegunaan orang ramai.