Laluan kerjaya tidak jelas punca warga tempatan enggan sertai kerja bawahan - Pakar ekonomi
Israr Khalid
Februari 17, 2022 07:36 MYT
Februari 17, 2022 07:36 MYT
KUALA LUMPUR: Warga tempatan enggan bekerja dalam pekerjaan bawahan yang sukar, bahaya dan kotor (3D) dengan pendapatan yang rendah kerana sebahagian besarnya tidak mempunyai laluan kerjaya yang jelas.
Menurut penganalisis ekonomi Prof Madya Dr Mohd Yusuf Saari, ini penting kerana rakyat Malaysia bukan hanya mahu meneruskan kehidupan, tetapi mahu mengembangkan fungsi serta pendapatan bagi membina prospek kehidupan yang lebih baik seiring masa.
“Sebagai contoh menjadi operator kilang atau pekerja restoran mamak, mereka memikirkan 'takkanlah nak jadi operator atau ambil order sampai pencen'?
“Jadi, bergerak ke hadapan, laluan kerjaya itu perlu ada dan jelas. Kalau menjadi operator itu, kemudian naik dan naik (ke pangkat atau seterusnya). Ini yang perlu ditambah baik.”
Disebabkan itu, kata Mohd Yusuf, kerja-kerja sedemikian berharap kepada tenaga kerja luar dan akhirnya kebergantungan tinggi terhadap mereka memberikan impak negatif kepada ekonomi rakyat negara ini.
Ia secara tidak langsung memberi kesulitan terhadap usaha untuk menaikkan kadar gaji minimum kerana ramai yang berada di tangga pendapatan itu adalah pekerja asing.
Di samping itu, kata Mohd Yusuf, aspek pensijilan juga harus diberi perhatian dan ditambah baik.
Ini supaya para pekerja mempunyai jaminan mereka berupaya mendapatkan pekerjaan dengan kadar gaji yang sesuai dengan kelayakan dan kemahiran serta diiktiraf mana-mana majikan.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis, yang dihoskan oleh Nazri Kahar.