Laluan ke kincir angin Pulau Perhentian akan dirobohkan

Nur Fazlizai Ali
Mac 15, 2021 04:33 MYT
Kincir angin, yang dibina dengan kos RM12.6 juta di bahagian utara Pulau Perhentian Kecil itu, dirasmikan pada September 2007. - Astro AWANI
PULAU PERHENTIAN: Struktur laluan ke puncak bukit yang menempatkan kincir angin di Pulau Perhentian akan dirobohkan bagi mengelak kejadian buruk.
Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata, selain berbahaya, keadaan laluan terbabit yang uzur juga mencacatkan pemandangan serta keindahan pulau tersebut.
Menurut Huzairil, kerajaan negeri meluluskan peruntukkan RM500,000 bagi kerja berkenaan yang dijangka bermula antara April dan Mei depan.
“Struktur yang telah berkarat dan rosak dan ini akan membahayakan pengunjung. Jadi kerajaan negeri berhasrat untuk merobohkan struktur yang menghubungkan kincir angin di atas bukit sana.
“Proses penggantian struktur baharu akan mengambil masa sikit. Kincir angin itu sebenarnya tidak mampu untuk membekalkan tenaga elektrik yang mencukupi.
“Jadi kerajaan negeri berpendapat tidak ada keperluan untuk struktur angin itu digunakan seperti sebelum ini,” katanya.
Kincir angin, yang dibina dengan kos RM12.6 juta di bahagian utara Pulau Perhentian Kecil itu, dirasmikan pada September 2007.
Projek berkenaan dibiayai Kerajaan Negeri, Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi melalui dana Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) dan TNB.
#kincir angin #Pulau Perhentian #roboh #Mohd Huzairil Nizam Ibrahim #terengganu
;