Laluan ke hospital Hulu T'Ganu dinaiki air, kakitangan dibawa menaiki jentolak
Bernama
Januari 4, 2017 11:00 MYT
Januari 4, 2017 11:00 MYT
Lima puluh kakitangan Hospital Hulu Terengganu terpaksa menaiki jentolak yang disediakan Bilik Gerakan Bencana Pejabat Daerah Hulu Terengganu untuk pergi bekerja apabila laluan ke hospital itu mula dinaiki air awal pagi ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohammad Omar berkata setiap tahun laluan ke hospital itu akan dinaiki air dari kedua-dua arah apabila hujan lebat berterusan dalam tempoh yang lama.
"Saya ada meminta agar disediakan trak supaya lebih ramai dapat dibawa ke hospital tetapi dimaklumkan ia agak berbahaya kerana arus yang deras dan adalah lebih selamat menaiki jentolak.
"Bagaimanapun sekiranya ada kes kecemasan yang memerlukan pesakit dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu atau pesakit dari hospital itu dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini, kami terpaksa juga gunakan lori dan ambulans pula akan menunggu di jalan terdekat yang masih boleh dilalui," katanya ketika dihubungi Bernama sebentar tadi.
Sehubungan itu, beliau menyarankan pelawat yang datang ke Hospital Hulu Terengganu hanya berbuat demikian sekiranya ada urusan yang sangat penting sahaja, memandangkan pergerakan ke hospital itu agak terbatas ketika ini.
Dr Mohammad berkata bagi pesakit yang tidak terlalu kritikal, mereka masih boleh dirujuk ke Klinik Kesihatan Kuala Berang atau Klinik Kesihatan Ajil yang masih boleh dilalui kenderaan ringan setakat ini.
-- BERNAMA