Laluan ke Amber Court Genting Highlands terhalang akibat tanah runtuh
Astro Awani
November 5, 2019 21:04 MYT
November 5, 2019 21:04 MYT
Satu kejadian tanah runtuh berlaku di laluan menuju kediaman Amber Court di Genting Highlands, sekali gus membuatkan kekangan lalu lintas.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands, Yusry Abdullah Sani, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu sekitar jam 5.40 petang Selasa.
"Pihak bomba terima panggilan pada jam 5.40 petang dan setibanya di tempat kejadian, pihak kami mendapati berlakunya kejadian tanah runtuh.
"Kejadian tanah runtuh itu telah menyebabkan jalan dua hala terputus antara Jalan Amber Court dan jalan menuju ke Hotel Grand Ion D'Elemen.
"Setakat ini pihak kami sedang melakukan kerja-kerja pembahagian jalan dan jalan buat pejalan kaki," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.
Jelasnya lagi, tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
"Untuk makluman, jalan yang terlibat tidak terjejas dengan kawasan pelancongan Genting Highlands.
"Kami juga memohon agar orang ramai dan penginap hotel tersebut untuk memberikan sedikit masa buat pihak kami melakukan kerja-kerja pembahagian jalan.
"Pihak kami menjangkakan akan memakan masa selama dua jam untuk melakukan pembahagian jalan bagi memastikan orang awam dapat melalui jalan tersebut untuk menuju destinasi masing-masing," ujarnya.
Sementara itu, Komander Operasi, Yusry Abdullah Sani mengesahkan rakaman video tular yang menunjukkan detik cemas gelongsoran tanah di hadapan sebuah bas, berlaku di laluan ke Amber Court, Genting Highlands pada petang Selasa.
#Genting Highlands
#grand ion delemen
#Jalan Amber Court
#Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands
#tanah runtuh
#Yusry Abdullah Sani