Laluan Ipoh Utara-Ipoh Selatan ditutup sementara esok

Abd Razak Mohd Ali
November 29, 2022 12:30 MYT
Pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka susulan penutupan sementara mulai jam 10 pagi hingga 2.30 petang.
IPOH: Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) akan menutup sementara laluan Ipoh Utara-Ipoh Selatan (arah selatan) lebuh raya itu untuk latihan simulasi kecemasan, esok.
Sehubungan itu, pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka susulan penutupan sementara mulai jam 10 pagi hingga 2.30 petang.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, sepanjang tempoh tersebut, pengguna dari utara/Kuala Kangsar yang menghala ke selatan/Kuala Lumpur akan dilencongkan ke Plaza Tol Ipoh Utara dan seterusnya dinasihatkan untuk menggunakan Jalan Persekutuan (FT240) iaitu Jalan susur Jelapang-Ampang sepanjang latihan simulasi tersebut berlangsung.
Menurutnya, pengguna boleh meneruskan perjalanan ke Selatan dengan memasuki semula Lebuhraya Utara-Selatan menerusi Plaza Tol Ipoh Selatan.
“Latihan simulasi tersebut diadakan bagi menguji tahap kecekapan, masa tindak balas dan tindakan yang diambil oleh PLUS, pasukan penyelamat serta agensi yang terlibat dalam menghadapi situasi kecemasan, mengkaji dan memeriksa aliran proses prosedur keselamatan di lebuh raya.
“Keselamatan pengguna lebuh raya sentiasa menjadi keutamaan kami.
"Oleh itu, latihan seumpama ini dijalankan dari masa ke masa untuk mengukur tahap persediaan kakitangan PLUS dan agensi yang berkaitan demi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, latihan kecemasan kali ini akan melibatkan agensi-agensi yang terbabit antaranya Lembaga Lebuhraya Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Alam Sekitar, Angkatan Pertahanan Awam, MERS 999, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia, MIROS, Edgenta Infrastructure Services (EIS) dan sebagainya.
Sehubungan itu, katanya, pengguna lebuhraya dinasihatkan supaya mematuhi semua papantanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh petugas PLUS ketika latihan diadakan.
Pengguna lebuh raya boleh menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000 untuk mendapatkan maklumat trafik atau sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan.
#PLUS #latihan simulasi #Zakaria Ahmad Zabidi #Ipoh Utara-Ipoh Selatan
;