Laluan ditutup akibat tanah mendap di Kuantan
Azee Shafy
November 4, 2022 12:40 MYT
November 4, 2022 12:40 MYT
KUANTAN: Laluan di Lorong Taman Bukit Setongkol Perdana 45/1 ditutup kepada orang awam berikutan tanah mendap yang berlaku pada pagi Jumaat.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.42 pagi.
"Berdasarkan siasatan awal mendapati jambatan di lorong berkenaan runtuh akibat paip air pecah sehingga menyebabkan tanah mendap.
"Bagaimanapun, kejadian ini tidak melibatkan mangsa dan harta benda," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Seramai enam anggota Bomba dari Balai Bomba Indera Mahkota bergegas ke lokasi kejadian, dan segara melakukan pemantauan sebelum kehadiran pigak Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) mengambil alih.
Zulfadli memberitahu, pemantauan dilakukan bagi memastikan orang awam menjauhi dan tidak menggunakan kawasan tersebut yang berisiko tinggi berlaku kejadian tidak diingini.