Laluan berhampiran Jeram Toi masih selamat dilalui

Bernama
Januari 3, 2022 11:05 MYT
Laluan masuk ke Jeram Toi turut mengalami kemusnahan teruk akibat tanah runtuh dan banjir yang melanda selepas hujan lebat berterusan lebih lima jam petang 18 Dis 2021 lalu. --fotoBERNAMA
JELEBU: Laluan di jambatan tiang sambut FT086 berhampiran Jeram Toi, dekat sini masih selamat dilalui oleh semua kenderaan, kata Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan Ir Wan Hasnan Wan Musa.
Beliau berkata pihaknya telah ke lokasi kejadian dan menjalankan pemeriksaan di kawasan tersebut serta mendapati tiada pergerakan atau keretakan ke atas tiang sambut jambatan berkenaan.
"Justeru, orang ramai diminta tidak menyebar dan berkongsi berita yang belum ditentukan sahih bagi mengelak situasi panik dalam kalangan orang ramai," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Jelasnya, pihak JKR akan sentiasa memantau situasi jambatan itu dari semasa ke semasa dan orang ramai boleh melayari Facebook rasmi JKR Negeri Sembilan bagi mendapatkan maklumat seperti penutupan jalan dan tanah runtuh.
Beliau mengulas gambar yang tular di media sosial mengenai satu tiang sambut jambatan yang dikatakan mengalami kesan akibat hakisan tanah di Jeram Toi.
-- BERNAMA
#jeram toi #Wan Hasnan Wan Musa #jambatan tiang sambut #selamat dilalui semua kenderaan