Laluan baharu RapidKL beri akses penumpang ke Klinik Kesihatan Kuala Lumpur

Bernama
April 22, 2017 07:18 MYT
Pelarasan itu membolehkan orang ramai memiliki akses ke klinik kesihatan. - Gambar hiasan
Dalam usaha memberikan orang-ramai kemudahan untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur di Jalan Fletcher di sini yang beroperasi sejak 3 April lepas , pihak RapidKL akan membuat pelarasan laluan bas 402 bermula Selasa ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, RapidKL berkata laluan baharu itu akan meliputi Jalan Tun Razak-Jalan Ipoh-Jalan Pahang-Bulatan Pahang dan Jalan Tun Razak menghala ke KLCC.
Pelarasan itu akan meliputi empat lagi hentian bas dan salah satu daripadanya terletak 80 meter dari klinik itu.
Laluan baharu itu juga akan meningkatkan kesalinghubungan dalam pengangkutan awam, menghubungkannya dengan stesen transit aliran ringan (LRT) Titiwangsa dan monorel Chow Kit, menurut kenyataan itu.
Bagi laluan pejalan kaki menghala ke Klinik Kesihatan Kuala Lumpur, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sedang bekerjasama rapat bagi penyediaan prsarana awam itu.
--BERNAMA
#Klinik kesihatan #Kuala Lumpur #laluan baharu #LRT #RapidKL
;