Lalu lintas lorong RFID lancar, pengguna jalan raya dapat sesuaikan diri

Bernama
Januari 20, 2022 08:33 MYT
Suasana lorong RFID di Plaza Tol Duta menghala ke Kuala Lumpur berjalan dengan lancar meskipun hujan lebat ketika tinjauan semalam. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Memasuki hari kelima pelaksanaan sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di 83 plaza tol di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan, tinjauan Bernama di beberapa negeri mendapati keadaan lalu lintas bertambah baik serta tiada kesesakan luar biasa berlaku di lorong itu.
Keadaan ini menunjukkan kebanyakan pengguna jalan raya kini dapat menyesuaikan diri dengan penghijrahan kepada penggunaan RFID walaupun terdapat isu kesesakan dilaporkan berlaku di plaza tol pada awal pelaksanaannya Sabtu lepas.
Beberapa petugas PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang dilengkapi peranti mudah alih untuk mengimbas tag atau pelekat RFID juga ditempatkan di plaza tol bagi membantu pengguna yang berhadapan masalah imbasan pada pelekat cip mereka.
Namun, masih ramai pengguna yang dilihat lebih memilih untuk menggunakan lorong Touch 'n Go (TnG) dan SmartTAG.
Tinjauan Bernama mendapati meskipun hujan turun mulai 5 petang di tiga plaza tol utama di LEMBAH KLANG iaitu Plaza Tol Sungai Besi, Jalan Duta dan Kajang, keadaan lalu lintas masih terkawal di laluan RFID, begitu juga di laluan kutipan tol secara TNG dan SmartTAG.
Sekurang-kurangnya tiga petugas PLUS berada di setiap plaza tol berkenaan bagi membantu pengguna sekali gus dapat menghindari kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.
BACA: RFID: Kerajaan putuskan pengguna perlu diberi pilihan - Ismail Sabri
Di SELANGOR, tinjauan di sekitar Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) di Plaza Tol Setia Alam, Shah Alam mendapati penggunaan sistem teknologi RFID berjalan lancar dan tidak berlaku sebarang kesesakan luar biasa dari kedua-dua arah setakat 6 petang tadi, namun pertambahan kenderaan yang berlaku disebabkan waktu puncak.
Khidmat lain seperti TnG dan SmartTAG juga masih tersedia dan digunakan oleh pengguna jalan raya di plaza tol itu.
Tinjauan di Plaza Tol Ipoh, PERAK arah selatan kira-kira pukul 2 dan 5 petang tadi juga mendapati tiada kesesakan disebabkan masalah penggunaan transaksi tol di lorong RFID kerana lorong itu kelihatan lengang dan kurang dilalui kenderaan.
Kebanyakan pemandu kenderaan di lebuh raya dilihat lebih memilih untuk menggunakan lorong TnG walaupun terpaksa menunggu kenderaan lain menyelesaikan urusan transaksi di hadapan mereka.
BACA: Pelekat RFID rosak: Pengguna boleh dapat gantian secara percuma - PLUS
Di NEGERI SEMBILAN, tinjauan di Plaza Tol Bandar Ainsdale dan Plaza Tol Senawang, Seremban mendapati aliran trafik juga lancar termasuk di lorong RFID selain beberapa petugas PLUS turut kelihatan bersedia membantu pengguna yang menghadapi masalah transaksi, setakat 6 petang.
Keadaan lorong RFID di Plaza Tol Sungai Dua, PULAU PINANG menghala ke utara tanah air bergerak lancar dan tiada kesulitan dilihat, namun empat lorong TnG masih menjadi pilihan utama berdasarkan barisan kenderaan yang lebih panjang berbanding di lorong RFID dan satu lorong SmartTAG.
BACA: RFID di PLUS: Migrasi transaksi cecah 10 peratus, penambahbaikan dibuat
Tinjauan sekitar pukul 5.57 petang di plaza tol itu mendapati beberapa pengguna mengalami kesulitan untuk melalui satu daripada lorong RFID (menghala selatan) di plaza tol itu untuk percubaan pertama namun pelekat RFID mereka berjaya dibaca oleh sistem pada percubaan kedua.
Sementara itu, di KEDAH, tinjauan dari Plaza Tol Alor Setar Utara hingga Plaza Tol Hutan Kampung dekat Alor Setar mendapati kebanyakan pengguna lebuh raya masih menggunakan lorong TnG berbanding RFID.
Pembantu stor Azami Pin, 61, yang sering melalui Plaza Tol Alor Setar arah utara dan Plaza Tol Hutan Kampung dekat Alor Setar untuk ulang-alik bekerja berkata dia lebih selesa menggunakan TnG malah hingga kini masih belum mendaftar dan memasang RFID pada keretanya.
BACA: RFID: PLUS perlu cari penyelesaian isu kesesakan di plaza tol
-- BERNAMA
#RFID #pengguna jalan raya #PLUS #kesesakan di plaza tol
;