Lalitha tidak penuhi kriteria sebagai 'whistleblower' - Pakar kriminologi
Azyyati Ahmad
Januari 14, 2022 12:11 MYT
Januari 14, 2022 12:11 MYT
KUALA LUMPUR: Lalitha Kunaratnam disifatkan tidak memenuhi kriteria sebagai “whistleblower”, susulan maklumat yang dikongsikan oleh aktivis itu dilihat sebagai maklumat awam serta boleh diakses orang ramai.
Itu padangan Pakar Kriminologi Kassim Noor Mohamed, yang turut menjelaskan berdasarkan definisi undang-undang, Lalitha secara rela mendedahkan identitinya apabila tidak melaporkan dakwaan salah laku itu kepada pihak berkuasa, sebaliknya menyiarkan artikel tersebut di media dalam talian.
“Maklumat yang didedahkan itu - berkaitan pemilikan saham - boleh didapati secara terbuka kerana ia adalah maklumat awam dan bukan sesuatu yang tersorok.
“Saya tidak rasa dia memenuhi kriteria sebagai seorang ‘whistleblower’ (pendedah maklumat) ,” katanya kepada MalaysiaNow.
Lalitha sebelum ini menerbitkan beberapa artikel blog yang mendakwa mendedahkan maklumat mengenai pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Susulan itu, Azam memfailkan saman fitnah bernilai RM10 juta terhadap Lalitha dan menuntutnya untuk membuat permohonan maaf secara terbuka selepas gagal memberikan respons terhadap surat tuntutan daripada peguam.
Kassim yang juga bekas pegawai kanan kastam yang mempunyai 20 tahun pengalaman dalam penguatkuasaan dan risikan juga berpendapat bahawa Azam berhak untuk memfailkan saman terhadap Lalitha.
“Begitu juga Lalitha, sekiranya beliau merasakan Azam memfitnahnya, dia juga boleh menyaman Azam,” katanya.
Jelas Kassim, Lalitha tidak sepatutnya berasa takut atau bimbang organisasi itu tidak menyebelahinya, sekiranya dia membuat laporan terhadap SPRM.
Meskipun tuduhan itu melibatkan Azam, Kassim yakin SPRM akan tetap melakukan siasatan secara profesional dan tidak akan menyebelahi sesiapa bersandarkan pencapaian SPRM dalam kes 1MDB.
Azam sebelum ini menafikan dakwaan Lalitha yang mempunyai kaitan dengan C4 Centre, sebuah NGO diketuai oleh aktivis Cynthia Gabriel.
Dakwaan terhadap Azam itu juga turut diulangi rakan pengarah Gabriel di C4 Center, Edmund Terence Gomez, yang kemudiannya meletak jawatan daripada Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM.