Lakukan terjunan dari Menara PNB 118 warga asing kini diburu

Fareez Azman
Mei 1, 2022 15:36 MYT
Seorang warga asing kini diburu polis selepas melakukan terjunan dari Menara Merdeka 118 (Menara PNB118) menggunakan payung terjun di Jalan Stadium di ibu negara pada 24 April lalu. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Seorang warga asing kini diburu polis selepas melakukan terjunan dari Menara Merdeka 118 (Menara PNB118) menggunakan payung terjun di Jalan Stadium di ibu negara pada 24 April lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, laporan polis dibuat selepas dua hari kejadian berkenaan.
"Kejadian pada 24 April 2022, laporan polis dibuat pada 26 April 2022. Suspek warga asing dan motif masih dalam siasatan," jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.
Tambah Noor Dellhan, kes disiasat di bawah Seksyen 477 Kanun Keseksaan.
"Usaha mengesan sedang dibuat dengan bantuan kamera litar tertutup (CCTV) dan pelbagai kaedah lain," jelasnya lagi.
Menara Merdeka 118 yang berketinggian 678.9 meter merupakan bangunan tertinggi di Malaysia serta tertinggi di Asia Tenggara dan mencatat rekod kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.
Bukan hanya sekadar projek ikonik bertaraf dunia, sebaliknya, menara berkenaan turut melambangkan kebudayaan dan sejarah kemerdekaan Malaysia serta memiliki sentuhan luar biasa antara seni bina bersejarah dan kontemporari.
Pembinaannya dimulakan pada tahun 2014, dengan pembangunan seluas 40 ekar, yang mana 50 peratus keluasan tanah tersebut terdiri daripada Stadium Merdeka dan Stadium Negara.
#menara pnb 118 #payung terjun #warga asing #PDRM
;