Lakukan perubahan melalui media sosial

Astro Awani
Februari 23, 2013 08:54 MYT
Social Media Chambers menyeru pengguna media sosial tempatan untuk menggunakan platform ini untuk kebaikan masyarakat.
Ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaan ini ditemuramah secara langsung pada hari Jumaat dalam program Agenda Awani sempena Minggu Media Sosial Malaysia 2013 bersama hos Dzulfitri Yusop.
Rakyat Malaysia merupakan antara pengguna media sosial yang tertinggi di dunia. Namun bezanya dengan negara luar, pengaruh kuasa media sosial tidak digunakan semaksimum mungkin kerana ia sering menjadi platform untuk luahkan perasaan peribadi.
"Ramai yang menggunakan media sosial ini untuk mengutarakan kekecewaan mereka bukan untuk menambah baikkan sesebuah pendapat. Mereka lebih memilih untuk mengkritik," kata Naib Presiden Social Media Chambers Chris Wong.
Ahli Social Media Chambers Chistopher Tock pula berpendapat bahawa terdapat berbezaan tentang kelakuan pengguna di dunia realiti dan alam maya.
"Budaya kita memang tidak suka konfrontasi. Kalau ada benda yang kita tidak suka, kita tidak mahu memberitahu secara bersemuka. Di sebalik komputer, apa sahaja boleh dikeluarkan. Twitter, blog, Facebook telah dijadikan platform yang negatif," jelas beliau.
Namun, Syafique Shuib berpendapat pengguna mempunyai pengaruh yang tinggi oleh kerana mereka mempunyai barisan pengikut tersendiri.
"Mereka boleh menggunakan media sosial untuk kebaikan masyarakat seperti menggunakan blog atau microblogging untuk melakukan perubahan,” kata beliau.
Minggu Media Sosial Malaysia 2013 akan berlangsung dari 26 Februari hingga 3 Mac.
#media sosial #Minggu Media Sosial Malaysia 2013