Lakukan hubungan luar tabii dengan kambing, warga emas ditahan

Hakim Rahman
Julai 28, 2021 09:09 MYT
Polis berjaya menahan suspek di kawasan semak kira-kira 10.50 pagi tadi dan akan didakwa di Mahkamah Sesyen. - Foto PDRM
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas tergamak melakukan hubungan seks luar tabii dengan seekor kambing betina sehingga haiwan itu mati dalam kejadian di Kampung Sungai Buaya, Serendah.
Kejadian pada 1.30 petang Selasa itu disedari seorang wanita yang juga merupakan pemilik kambing berkenaan yang sebelum itu terdengar bunyi pelik kambingnya di kandang belakang rumah.
Dia kemudiannya keluar untuk memeriksa keadaan haiwan peliharaannya itu dan mendapati seorang lelaki yang dikenalinya bangun daripada sebelah kambingnya dalam keadaan separuh bogel sebelum melarikan diri.
Wanita berusia 45 tahun itu kemudian memeriksa keadaan kambing berkenaan dan didapati haiwan itu sudah mati sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Serendah, kira-kira jam 6.24 petang.
Menurut Ketua Polis Hulu Selangor Supt Arsad Kamaruddin, pihaknya bertindak selepas menerima aduan tersebut dan berjaya menahan suspek pagi tadi.
"Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Hulu Selangor kemudianya telah berjaya menahan suspek di kawasan semak di Jalan Tengah, Kampung Sungai Buaya Serendah, kira-kira jam 10.50 pagi tadi.
"Semakan awal mendapati lelaki berusia 60 tahun itu mempunyai rekod lampau membabitkan kes jenayah," katanya dalam kenyataan.
Suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu pada Khamis untuk direman di bawah Seksyen 377 dan Seksyen 289 Kanun Keseksaan.(Persetubuhan luar tabii terhadap haiwan dan kecuaian berkenaan dengan haiwan).
Tambah Arsad, pihaknya percaya dengan tertangkapnya suspek polis telah berjaya menyelesaikan kes ini sekali gus meningkatkan persepsi masyarkat terhadap PDRM dan mengurangkan kegusaran masyarakat setempat.
Beliau juga meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan dadah kepada pihak polis agar tindakan segera dapat diambil.
#Hulu Selangor #seks #warga emas #luar tabii #polis #kambing