Lakukan audit keselamatan bangunan lama setiap tahun - Lam Thye
Mariah Ahmad
Mac 18, 2018 15:17 MYT
Mac 18, 2018 15:17 MYT
Bangunan lama termasuk hospital, sekolah dan rumah yang berusia melebihi 20 tahun perlu melakukan pengauditan keselamatan tahunan.
Itu cadangan Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye susulan insiden kebakaran di Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam.
"Pengauditan keselamatan ini sepatutnya dibuat setiap tahun untuk bangunan lama yang lebih 20 tahun. Perkara ini boleh dilaksanakan oleh pakar-pakar atau pihak berkelayakan," katanya dihubungi Astro AWANI hari ini.
Menurut Lam Thye, pihak berkuasa perlu mengambil iktibar dengan kebakaran di HKL semalam dan juga insiden kebakaran di Hospital Sultanah Aminah, Johor pada Oktober 2016 supaya ia tidak berulang lagi.
Sementara itu, beliau turut memuji tindakan pantas pihak hospital dan bomba menangani insiden kebakaran pada Sabtu.