'Lakukan apa sahaja yang termampu untuk bantu kami' - Dr. Fauziah

Madiha Abdullah
Oktober 6, 2016 14:00 MYT
Dr. Fauziah satu-satunya rakyat Malaysia yang menyertai misi keamanan 'Women's Boat To Gaza'.
"LAKUKAN apa sahaja dalam kemampuan anda, untuk membantu kami dibebaskan dari penahanan secara tidak sah!"
Itu gesaan yang dibuat satu-satunya rakyat Malaysia yang menyertai misi 'Women's Boat To Gaza' (WBG), Dr Fauziah Mohd Hasan.
Dr. Fauziah, dalam satu rakaman video yang dibuat sebelum kapal Zaytouna-Olivia yang dinaiki bersama tiga krew dan sembilan peserta lain, ditawan tentera Israel kira-kira jam 8.58 malam Rabu.
Video berkenaan dirakam seminggu lebih awal semasa kumpulan aktivis berkenaan dalam perjalanan dari sebuah pelabuhan di Itali.
"Saya merayu agar semua pemimpin dunia, rakyat Malaysia, kerajaan Malaysia dan pencinta keamanan di seluruh dunia, untuk menggunakan segala pengaruh dan kekuatan yang ada, bagi membantu pembebasan kami," kata Dr. Fauziah.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu juga sempat meluahkan rasa penghargaan kepada semua atas sokongan dan kiriman doa.
Dalam sidang media yang diadakan tengah hari tadi, Pengerusi MyCARE, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor, mengesahkan kesemua 13 anak kapal dan anggota misi itu selamat.
#fauziah mohd hasan #Gaza #Israel #kapal Zaytouna #Palestin #Zaytouna ditawan israel #Zaytouna-Oliva
;