Laksanakan pemutihan data penerima bantuan kerajaan, bangunkan pangkalan data dinamik - Madeline

Irfan Faruqi
Jun 2, 2023 22:54 MYT
Madeline menegaskan keperluan untuk membangunkan sistem data dinamik. - foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pemutihan daftar dalam pangkalan data sedia ada perlu dilaksanakan bagi memastikan hanya individu yang benar-benar layak menerima bantuan.
Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Datuk Dr Madeline Berma menegaskan, pembangunan sistem data dinamik perlu untuk memastikan kelemahan yang sama tidak berulang.
“Seperkara yang kami tekankan adalah berkenaan keperluan untuk mewujudkan pangkalan data dinamik berbanding data statistik. Ini kerana, dalam situasi sekarang seseorang yang hendak mendapatkan bantuan, perlu mendaftar. Selepas mendaftar namanya akan dimasukkan ke dalam sistem pangkalan data.
“Pertama, bayangkan orang Penan di pedalaman Sarawak. Adakah mereka tahu, bahawa mereka perlu mendaftar dalam sistem e-Kasih atau yang lain-lain? Kedua, selepas nama mereka didaftarkan, nama tersebut sangat jarang dan hampir mustahil dikeluarkan daripada pangkalan data tersebut,” katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Jumaat.
Jelasnya, situasi itu timbul memandangkan sistem sedia ada tidak menggalakkan seseorang untuk melaporkan diri mereka sudah tidak lagi layak mendapat bantuan.
Ujarnya, ia menyebabkan ramai penerima manfaat daripada bantuan kerajaan tidak dapat dipastikan sama ada benar-benar layak atau sebaliknya.
“Mengapa perlu laporkan sedangkan mereka boleh kekal sebagai penerima manfaat, berbanding jika mereka keluarkan nama mereka daripada daftar tersebut seterusnya tidak lagi mendapat bantuan yang kerajaan berikan?” soalnya.
Pada 19 Mei lalu, kerajaan mengumumkan peralihan dasar sosioekonomi daripada pendekatan berasaskan pendapatan B40, M40 dan T20 kepada berasaskan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata peralihan tersebut akan dilakukan secara berfasa dan dijangka bermula Januari 2024 berdasarkan Pangkalan Data Utama (PADU).
Mengulas lanjut, Rafizi berkata terdapat lebih 200 sumber pengkalan data yang akan disepadukan dan dikemas kini melalui PADU, sekali gus memastikan keberkesanan pelaksanaan program kerajaan.
#bantuan kerajaan #PADU #B40 #belanja isi rumah
;