Laksana program MITRA dalam tempoh ditetapkan

Bernama
Januari 19, 2024 05:30 MYT
Timbalan Menteri Perpaduan, K. Saraswathy berkata, unit berkenaan akan memantau kemajuan kesemua program dan kemungkinan dana akan ditarik balik jika gagal melaksanakan program secara berperingkat mengikut tempoh ditetapkan. - Gambar faiil/BERNAMA
PUTRAJAYA: Penerima geran kewangan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) harus melaksanakan program yang telah diluluskan dalam tempoh ditetapkan bagi mengelak dana tersebut ditarik balik.
Timbalan Menteri Perpaduan, K. Saraswathy berkata, unit berkenaan akan memantau kemajuan kesemua program dan kemungkinan dana akan ditarik balik jika gagal melaksanakan program secara berperingkat mengikut tempoh ditetapkan.
"Permohonan geran dan penyaluran dana pada tahun 2023 telah diluluskan sepenuhnya dan pelbagai program telah direncanakan tahun ini," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Ponggal di pekarangan Kuil Devi Sri Lalitambigai Devasthanam, di sini, pada Jumaat.
Sebagai hala tuju MITRA tahun ini, katanya, perbincangan menyeluruh akan diadakan bersama pakar dan individu berkepentingan dalam masa terdekat untuk mendapatkan maklum balas mengenai jenis program yang boleh memberi impak transformasi kepada kaum India
Terdahulu dalam ucapannya, Saraswathy berkata, pembinaan kuil tersebut telah terbengkalai sejak 2015 akibat masalah dana dan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan melihat semula struktur perbelanjaan yang diperlukan dan masalah berbangkit berkaitannya.
"Sebelum ini saya telah adakan perbincangan dengan jawatankuasa kuil untuk tahu apa struktur pembinaan asal dan anggaran perbelanjaan. Dianggarkan ia akan menelan belanja RM14 juta iaitu kos yang tinggi dan kita akan melihat semula dari segi penjimatan kos," katanya.
Sambutan Ponggal anjuran Persatuan Penjawat Awam Kaum India Putrajaya (Imayam) itu disertai lebih 100 kakitangan awam dan turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr K. Nagulendran. - BERNAMA
#Kementerian Belia dan Sukan #K Saraswathy #Mitra #Kementerian Perpaduan
;