Laksana program BTN ikut kesesuaian tempat golongan sasar
Bernama
Oktober 5, 2015 11:14 MYT
Oktober 5, 2015 11:14 MYT
Pelaksanaan program Biro Tatanegara (BTN) perlu diadakan mengikut kesesuaian tempat golongan sasar di negeri ini, kata Pengarah BTN Sabah Datuk Ibrahim Saad.
Beliau berkata, perkara itu diambil kira bagi memastikan program yang dilaksanakan lebih berkesan.
"Misalnya di luar bandar, aktiviti BTN lebih berkesan diadakan di perkarangan rumah kampung berbanding di dewan masyarakat kerana keadaan dan persekitarannya yang kondusif," katanya kepada Bernama pada program Seminar Seia Sekata Sehati Sejiwa Bersama BTN Sabah, dekat sini, semalam.
Seminar bertemakan cabaran transformasi negara menjana kecemerlangan penduduk itu dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Padang Malaga Pirasan dan Kelab Belia HERO kampung itu.
Dalam pada itu, Ibrahim berkata, setiap tahun pihaknya akan bekerjasama dengan Kampung Pirasan untuk menjalankan pelbagai program bermanfaat kepada masyarakat setempat.
"Transformasi bermula dari kampung, penduduk di sini perlu berubah dan bangunkan kampung ini," katanya.
Sementara itu, Pengerusi JKKK Kampung Padang Malaga Siti Noorohana Jailin berkata, seminar berbentuk akademik perlu dikongsikan bersama masyarakat kampong agar ilmu dalam kematangan berfikir dapat dibentuk sekali gus mendidik mereka untuk membuat keputusan tepat.
"Masyarakat kampung juga terdedah dengan berita tidak tepat yang mungkin akan mempengaruhi cara mereka berfikir dan untuk membuat keputusan.
"Justeru menerusi pendedahan kerap dalam program ilmu seperti seminar ini dapat meletakkan masyarakat kampung seiring dengan rakan mereka di bandar. Maka inilah transformasi yang menjadi titik tolak pembangunan modal insan seimbang menuju negara maju 2020," katanya lagi.