Laksana pemberian insentif kepada peminjam PTPTN - Penganalisis ekonomi
Nursyazwani Saiful Sham
Mei 19, 2019 15:11 MYT
Mei 19, 2019 15:11 MYT
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) boleh melaksanakan pemberian insentif kepada peminjam bagi memastikan proses kutipan yang lebih berkesan.
Demikian saranan yang diutarakan penganalisis ekonomi, Prof Dr Madeline Berma yang berpendapat dengan pemberian insentif ini dapat menggalakkan peminjam dan memudahkan mereka untuk membayar balik hutang mereka.
“Dalam ekonomi ada dua pendekatan yang boleh digunakan untuk membayar dan memungut hutang. Pertamanya pemberian insentif dan kedua dengan cara menghukum.
“Bagi konteks PTPTN, mereka boleh menggunakan cara pemberian insentif untuk menggalakkan mereka yang meminjam membayar balik.
“Atau antara cara lain seperti yang sudah tertera dalam dokumen Konsultasi Nasional yang dilancarkan oleh PTPTN adalah berdasarkan pendapatan peminjam.
“Selalunya dalam konteks pendidikan kedua-dua cara ini dlihat lebih efektik dalam memastikan pembayaran yang lebih teratur,” katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan yang disarankan rakyat kepada PTPTN untuk laksanakan semula sekatan ke luar negara bagi peminjam yang culas.
Madeline bagaimanapun berpandangan tindakan menghukum seperti menyenarai hitamkan peminjam yang culas ke luar negara adalah langkah mujarab.
Tetapi ia bakal meninggalkan impak yang besar terhadap peminjam. Justeru langkah terbaik adalah dengan melaksanakan insentif kepada peminjam.
#Dr Madeline Berma
#hutang
#insentif
#Penganalisis ekonomi
#Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
#PTPTN