Laksana dua langkah segera elak COVID-19 merebak

Sinar Harian
Disember 31, 2022 08:20 MYT
Ujian saringan COVID-19 di pintu masuk negara perlu dilakukan sebagai langkah 'melengahkan masa' penyebaran varian baharu di negara ini. - Foto fail/BERNAMA
SHAH ALAM: Kerajaan disaran untuk melaksanakan dua langkah pencegahan awal bagi mengelak COVID-19 merebak berpunca daripada kemasukan pelancong luar negara berisiko seperti China.
Pakar Kesihatan Awam dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, pelaksanaan ujian saringan COVID-19 di pintu masuk negara serta pemberian dos penggalak kedua kepada warga Malaysia perlu dilakukan segera sebagai langkah 'melengahkan masa' penyebaran varian baharu di negara ini.
"Melihat keadaan di Malaysia, tiada kekangan untuk laksanakan (saringan COVID) kerana ia boleh dilakukan dengan pantas dan murah, secara tidak langsung membolehkan kita 'buy the time' iaitu melambatkan pendedahan kepada rakyat negara ini serentak dengan kedatangan pelancong yang ramai.
"Memang sukar untuk mengekang COVID-19 merebak sebab ada pergerakan keluar masuk (pelancong), namun pencegahan awal itu pilihan terbaik sementara menunggu kedatangan pelancong dari negara berisiko.
"Oleh kerana sudah ada petunjuk bahawa wujud (kes) kematian yang ketara dilaporkan di China, kita perlu berjaga-jaga kerana tidak tahu varian apa yang dibawa oleh mereka ekoran kes jangkitan amat tinggi di sana," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Dalam pada itu Dr Malina berkata, kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) perlu lebih agresif menyebar luas pemberian dos penggalak kepada setiap individu bagi membolehkan ia dilaksanakan dalam tempoh yang pantas sebelum kemasukan pelancong dari negara berisiko.
"Walaupun peratusan penerima vaksin di Malaysia sangat baik malah antara yang tertinggi di dunia, namun dapatan menunjukkan mereka yang dapat vaksin penggalak dan vaksin penggalak kedua tidak begitu memuaskan.
"Selain itu tumpuan juga perlu diberi kepada warga Malaysia yang keluar melancong atau pergi ke negara berisiko, pastikan telah mendapatkan vaksin lengkap serta balik dari luar negara perlu buat ujian saringan untuk memastikan tidak dijangkiti.
"KKM juga selain memantau fakta dan data yang boleh dipercayai dari China, perhatikan juga apa prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan negara-negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Singapura sebagai langkah berjaga-jaga," ujarnya. - Sinar Harian
#COVID-19 #saringan #pintu masuk negara #Malina Osman
;