LAKMNS perkenal sistem pendaftaran berkod QR untuk solat Jumaat
Rudi Affendi Khalik
Jun 12, 2020 19:19 MYT
Jun 12, 2020 19:19 MYT
Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) mewujudkan sistem pendaftaran berkod QR bagi para jemaah yang menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek dan semua masjid di Kuching.
Langkah ini sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri untuk mengadaptasikan teknologi digital sebagai normal baharu.
Malahan sistem ini juga bertindak untuk proses pengesanan kontak sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.
Antara lain menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, pembangunan sistem pendaftaran digital itu bagi mengelakkan kesesakan jemaah yang datang untuk menunaikan solat secara berjemaah.
“Kita telah mengambil inisiatif ini untuk jemaah mendaftar dalam talian dengan mereka mendapatkan kod QR serta mengisi borang secara digital.
“Menerusi langkah ini juga, kita akan menentukan dalam sehari dan mereka akan diberitahu sama ada mereka lulus untuk datang ke masjid atau sebaliknya,” ujarnya.
Menurutnya lagi, dengan adanya sistem seperti ini, ia membolehkan penggiliran jemaah dilakukan berdasarkan rekod yang terdapat dalam sistem yang dibangunkan ini.
Sistem ini boleh dilayari di laman web rasmi dan laman rasmi Facebook LAKMNS dan pengguna boleh mengisi borang secara dalam talian selepas mengimbas kod QR yang tertera pada laman web berkenaan.
Bagaimanapun pendaftaran hanya terhad kepada 100 jemaah pertama berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat.
#AWANI Sarawak
#COVID-19
#kod QR
#Kuching
#LAKMNS
#masjid jamek
#normal baharu
#Sarawak
#solat jemaah