LAK bakal berhadapan cabaran tangani masalah bekalan air
Azizah Alwi
Januari 7, 2022 05:06 MYT
Januari 7, 2022 05:06 MYT
KUCHING: Lembaga Air Kuching akan berhadapan dengan pelbagai bentuk cabaran baharu dari sudut bekalan air berikutan penambahan projek perumahan di sekitar Bandaraya Kuching.
Menteri Utiliti dan Komunikasi, Datuk Julaihi Narawi, berkata Lembaga Air Kuching memainkan peranan penting bukan sahaja memastikan bekalan air di sekitar Bandaraya Kuching mencukupi, namun ia juga memastikan bekalan air bersih harus disalurkan kepada seluruh warga Kuching.
Tambah Narawi, dengan berlakunya penambahan projek perumahan di sekitar Bandaraya Kuching, pihak Lembaga Air Kucbung akan berhadapan dengan beberapa cabaran besar seperti mengalami masalah tekanan air rendah dan terdapat saluran paip pecah yang harus diperbaiki semasa projek perumahan dilaksanakan.
“Kita tahu bahawa cabaran kepada keperluan penduduk yang semakin meningkat dari semasa ke semasa rumah semakin bertambah.
“Kita tahu bahawa projek perumahan di Bandaraya Kuching bertambah jadi maknanya kita pasti menghadapi cabaran-cabaran yang berkaitan dengan bekalan air itu sendiri.
“Misalnya mungkin kita menghadapi bekalan air dari sudut tekanan air rendah, kemungkinan juga berlaku paip pecah dan perlu masa untuk mencari paip pecah akibat projek perumahan. Ini antara cabaran yang perlu dihadapi oleh Lembaga Air Kuching,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa menghadiri Majlis Apresiasi Lembaga Air Kuching di Pusat Konvensyen Borneo pada Jumaat.
Sementara itu mengulas berkenaan dengan persiapan menghadapi bencana banjir, jelas beliau bagi menghadapi persiapan bencana banjir agar bekalan air tidak terputus Lembaga Air Kuching sudah mempunyai perancangan rapi dan teliti.
Malah satu taklimat khas untuk membincangkan mekanisme tersebut akan dilakukan dalam masa terdekat bagi merapikan pelaksanaan sistem bekalan air semasa musim banjir tidak terjejas.
“Jadi saya percaya dan yakin bahawa Lembaga air kuching sudah mempunyai perancangan yang teliti untuk memenuhi keperluan bekalan air bersih dan juga bekalan yang mencukupi untuk penduduk di seluruh Bandaraya Kuching dan kawasan sekitar.
“Mereka sudah mempunyai perancangan rapi dan satu taklimat khas akan diadakan dalam masa terdekat. Untuk bekalan air di kawasan luar bandar, kita akan sediakan lori air seperti biasa agar penduduk luar bandar dapat manfaat tersebut,” ujarnya.